Pepsi mengalah, tarik balik iklan Kendall Jenner
Iklan disiarkan syarikat PepsiCo menampilkan Kendall Jenner terpaksa ditarik balik semalam selepas ia mencetuskan kemarahan umum kerana dianggap memperlekehkan penunjuk perasaan dan demonstrasi di AS.
Iklan disiarkan pada Selasa lalu itu menunjukkan adik tiri kepada selebriti Kim Kardashian itu sedang menjalani penggambaran sebelum tiba-tiba menanggalkan rambut palsu dan mekap dipakainya.
Kendall, 21, kemudian terus menyertai demonstrasi jalanan sebelum berhenti di depan seorang pegawai polis yang sedang mengawal keadaan untuk menawarkannya setin Pepsi.
Pegawai itu kemudian mengambil minuman berkenaan sementara peserta demonstrasi di belakang mereka bersorak menandakan gembira dengan situasi yang berlaku.
“Pepsi cuba menonjolkan mesej global, keamanan dan pemahaman. Tetapi jelas, kami terlepas pandang matlamat sebenar dan meminta maaf.
“Kami tidak berniat untuk memandang rendah sebarang isu berat. Kami menurunkan kandungan berkenaan dan menghentikan ia dari disiarkan,” menurut satu kenyataan dikeluarkan PepsiCo.
Pada masa sama syarikat itu turut memohon maaf pada Kendall. Bagaimanapun, tiada sebarang ulasan lanjut daripada model dan pelakon siri realiti televisyen itu.
Terdahulu, iklan berkenaan mengundang pelbagai kritikan di Twitter apabila mereka tidak berpuas hati dan menganggap mesej cuba disampaikan memandang enteng protes keganasan polis sejak beberapa tahun kebelakangan ini seperti di Ferguson, Missouri, dan Baltimore.
Bukan kali pertama
Menurut kenyataan itu lagi, iklan berkenaan direka oleh syarikat dimiliki Pepsi, Creators League Studio.
Pemerhati segera mengecam iklan berkenaan kerana tidak menyampaikan mesej yang jelas terutama apabila ia tidak menjelaskan alasan sebenar peserta mengadakan demonstrasi jalanan itu.
“Jika saya berjalan dan membawa tin minuman Pepsi, mungkin saya tidak akan ditangkap (polis). Siapa tahu? Pepsi, iklan ini adalah sampah,” kata aktivis DeRay McKesson - yang menjadi penyokong kuat pergerakan Black Lives Matter - menerusi akaun Twitter miliknya.
Manakala Bernice King - anak perempuan pemimpin hak asasi Martin Luther King Jr yang dibunuh kira-kira 49 tahun dulu - memulakan perniagaan memuat naik tweet berserta gambar bapanya.
Pada gambar itu, Martin dilihat mengadakan tunjuk perasaan sebagai pegawai sambil menggengam tangan di dada dengan kapsyen: “Andainya Daddy tahu kehebatan #Pepsi.”
Selain kecaman pengguna Twitter, iklan terbabit turut dikatakan menyerupai gambar aksi Leshia Evans yang menjadi viral pada 2016.
Leisha ditahan polis semasa rusuhan semasa mengadakan protes di Baton Rouge, Louisiana, tidak lama selepas kejadian tembakan membawa maut ke atas Alton Sterling, didakwa berpunca daripada polis.
Ini bukan kali pertama Pepsi dilihat seolah-olah sengaja mencetuskan kontroversi. Pada 2013 Pepsi menarik iklan minuman Mountain Dew selepas didakwa mempermainkan isu perkauman dan memandang ringan keganasan terhadap wanita.

