Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Tarikan wajah dan kata-kata manis lelaki antara penyebab wanita mudah terpedaya hingga menjadi mangsa pemerdagangan manusia.

Menurut pelakon Daphne Iking, jutaan wanita diperangkap kerana kurang berhati-hati dan terlalu cepat percaya kepada orang yang baru dikenali.

“Kepada remaja perempuan di luar sana, anda dinasihatkan jangan sewenang-wenang ikut kekasih untuk lari ke mana saja yang kamu inginkan.

“Pemerdagangan manusia adalah perkara yang benar-benar berlaku. Ingat keselamatan diri sendiri kerana sesal di kemudian hari tidak berguna,” katanya.

Daphne ditemui pada majlis tayangan filem terbaru lakonkannya Sindiket, di Mutiara Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini.

Kata anak kelahiran Keninganu, Sabah itu, penjenayah mengeksploitasi wanita untuk dilacurkan atau menjadi buruh paksa bagi tujuan mengaut laba mudah.

Sehubungan itu katanya, aktiviti pemerdagangan tidak boleh dianggap ringan kerana demi wang, penjenayah tidak memilih mangsa.

“Perkara lebih menyedihkan apabila ada penjenayah turut gemar memerangkap gadis yang lurus bendul atau yang lemah.

“Hal itu termasuk golongan Orang Kurang Upaya,” katanya.

Inspirasi kisah benar

Banyak sebenarnya kalau hendak disenaraikan faktor yang menyumbang kepada aktiviti pemerdangangan manusia.

Tetapi perkara disebut Daphne itu adalah antara yang diketengahkan dalam filem terbaru lakonannya yang diarahkan Bade Azmi.

Sindiket yang mengambil tempoh empat tahun untuk disiapkan itu turut dijayakan pelakon Sharnaaz Ahmad, Soo Wincci, Daphne Iking, Liyana Jasmay, Tony Eusoff dan Sharifah Amani.

Biarpun filem ini diinspirasikan dari kisah benar yang berlaku di seluruh dunia, matlamat mutlak adalah untuk memberi kesedaran terhadap aktiviti pemerdagangan yang perlu ditangani segera.

Bagaimanapun, Daphne mengakui, filem hanyalah satu medium menyampaikan maklumat dan selebihnya terletak kepada usaha kolektif kerajaan untuk menangani isu berkenaan.

“Tidak mencukupi hanya tengok filem dan harap ia dapat membantu kurangkan jenayah.

“Masih banyak perkara perlu dilakukan misalnya adakan kolaborasi antara negara lain bagi mencari jalan penyelesaian,” katanya.

Lihat Komen
ADS