Oki bantu bina masjid di bumi Andalusia
Penyanyi dan pelakon Indonesia Oki Setiana Dewi menjadi salah seorang wakil dari republik itu bagi misi A Tile for Seville - sebuah program untuk membangunkan masjid di Seville, Sepanyol.
Oki juga dilaporkan sedang berusaha mengambil bahagian untuk membangunkan tempat ibadah Muslim di Sepanyol yang satu ketika dulu dikenali sebagai bumi Andalusia dan banyak mencatatkan kegemilangan Islam.
Program tersebut melalui proses memungut dana oleh Aksi Cepat Tanggap (ACT) bersama Ukhwah for Ummah (Malaysia) dan Sevile Moeslim Foundation (Sepanyol).
“Sepanyol adalah tempat minoriti Muslim. Beberapa perwakilan dari Malaysia dan Singapura pergi ke Sepanyol untuk misi pembangunan masjid.
“Islam melakar sejarah di Andalusia, Sepanyol tetapi hancur binasa,” katanya seperti dilapor media tempatan.
Menurut Oki yang baru pulang ke Indonesia dari Seville, tiada satu pun masjid terdapat di tempat itu.
“Tidak ada masjid di Seville, yang ada hanyalah Sepanyol. Ada beberapa masjid dibangunkan oleh Arab Saudi, tetapi ia hanya boleh digunakan untuk solat saja, bukan aktiviti lain.
“Disebabkan hal itu, kami akan membantu dengan memungut dana bagi membina masjid,” katanya.
Katanya lagi, tujuannya ikut serta dalam program berkenaan kerana Seville adalah kota keempat penduduk Muslim terbesar di dunia.
“Kami akan usahakan secepat mungkin pembangunan masjid. Kerana tidak lama lagi akan tiba bulan Ramadan, nanti jemaah muslim dan muslimahnya ramai,” katanya.
Sebagai salah seorang penggiat misi mulia berkenaan, Oki juga berjaya mengundang beberapa rakan artis untuk turut sama mengambil bahagian.
“Tentu saja. Sering meminta bantuan rakan-rakan agar mereka memuat naik status di Instagram. Dengan tujuan meminta tolong dari mereka yang merupakan tokoh dikenali," katanya.

