Parti pemerintah New Zealand diheret ke mahkamah oleh Eminem kerana didakwa menggunakan lagu penyanyi rap terkenal dari AS itu tanpa izin.

Peguam Eminem berkata, Parti Kebangsaan New Zealand menggunakan lagu Lose Yourself dalam promosi mereka semasa terlibat dalam pilihan raya 2014.

Justeru, kata Garry Williams, Parti Kebangsaan New Zealand melanggar hak cipta penerbit album Eminem, Eight Mile Style.

Lagu Lose Yourself itu dicipta sendiri oleh Eminem, 44, dan menjadi runut bunyi untuk filem 8 Mile terbitan 2002. Eminem adalah seorang daripada pelakon filem berkenaan.

Kata Williams, Lose Yourself adalah lagu ikonik penyanyi kelahiran Detroit berkenaan dan pernah memenangi anugerah Acedemy dan Grammy.

Menurut peguam itu, hak cipta lagu itu bermaksud ia sangat bernilai dan dilindungi oleh penerbit asal yang sangat jarang memberikan kebenaran kepada sesiapa untuk menggunakannya bagi tujuan promosi.

Lagu itu yang pernah mengungguli carta di 24 buah negara menceritakan mengenai kisah "kehilangan diri" untuk suatu ketika dan bukannya berkisar mengenai kehilangan peluang dalam hidup - dipercayai merujuk kepada cara Lose Yourself digambarkan semasa kempen Parti Kebangsaan New Zealand itu.

"Sebab itu lagu berkenaan digunakan untuk memujuk orang ramai dan mempengaruhi pihak yang ingin menggunakannya bagi tujuan pengiklanan," katanya.

Saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Wellington.

Belum ada laporan mengenai jumlah pampasan yang dituntut oleh Eminem.

Sementara itu foxnews.com melaporkan jurucakap Parti Kebangsaan New Zealand mendakwa mereka membeli irama berkenaan daripada sebuah syarikat pembekal muzik.

Pengarah kempen parti itu, Steven Joyce, pada 2014 mendakwa mereka berpendapat penggunaan lagu berkenaan adalah sah dan berlaku secara kebetulan.

"Saya rasa lelaki itu baru mengambil dadah," katanya.

Hakim Mahkamah Tinggi Wellington menetapkan enam hari untuk mendengar perbicaraan berkenaan.

Pada pilihan raya umum yang diadakan pada 20 September 2014 itu, Parti Kebangsaan muncul sebagai pemenang dengan memperoleh 47.04 peratus undi, diikuti Parti Buruh (25.13 peratus) dan Parti Hijau (10.70 peratus).