Kerajaan Terengganu merancang mengadakan Festival Seni Duyong (DAF) setiap minggu di Pulau Duyong, Kuala Nerus berikutan sambutan hebat pelancong baru-baru ini.

Pengarah Pelancongan Negeri Terengganu Tun Faisal Tun Abdul Razak berkata setakat ini, festival tersebut diadakan sebulan sekali sehingga akhir tahun.

"Kita akan buat kajian terhadap keberkesanan festival itu dan jika ia mendapat sambutan baik, kita akan adakan seminggu sekali mulai tahun hadapan," katanya kepada pemberita pada seminar dan dialog Barisan Hadapan Visit Beautiful Terengganu 2017 di Kuala Nerus.

Tun Faisal berkata pihaknya merancang mempelbagaikan aktiviti pada festival tersebut seperti sukan air, pertunjukan kebudayaan dan jualan beraneka barangan kraf yang dihasilkan penduduk tempatan dan dijual secara santai.

Sementara itu, semasa berucap pada majlis berkenaan Tun Faisal berkata kempen Visit Beautiful Terengganu bukan hanya untuk tahun 2017 semata-mata, tetapi ia dirancang untuk masa depan bagi memajukan industri pelancongan.

Katanya, seminar dan dialog yang dianjurkan Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu bersama Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) itu adalah inisiatif terbaik dalam memperoleh idea baharu daripada penggiat industri pelancongan.

- Bernama