Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Megadeth: Pemuda PAS persoal ketegasan pihak berkuasa
Diterbitkan:  May 3, 2017 4:11 PM
Dikemaskini: 8:49 AM

Pemuda PAS mempersoalkan ketegasan pihak berkuasa kerana membenarkan konsert kumpulan Megadeth yang bakal berlangsung di Stadium Negara, Khamis ini.

Ketua Penerangannya, Hishamuddin Abdul Karim berkata, penganjuran konsert itu tidak selari dengan Garis Panduan Hiburan Dalam Islam (Edisi Kedua) yang telah diterbitkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan diperakukan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 2015.

"Pemuda PAS mempersoalkan ketegasan pihak berkuasa dalam menangani penganjuran ini walaupun garis panduan hiburan dalam Islam telah begitu jelas diperakukan.

"Apakah ia membawa faedah besar untuk rakyat atau hanya membuka ruang kepada rakyat untuk menyaksikan budaya yang tidak sihat di dalam negara ini," katanya dalam kenyataan media.

Menurutnya, konsert Megadeth juga pernah dihalang penganjurannya pada tahun 2001 kerana pengaruh muziknya yang dikatakan membawa kesan negatif pada peminat.

Pada masa sama, katanya, Pemuda PAS menafikan sebaran poster yang mengatakan sayap parti Islam itu akan mengadakan himpunan bagi membantah konsert berkenaan.

Antara lain poster itu memetik kenyataan ketua pemuda PAS yang menyebut mengenai kerosakan akidah sekiranya menyertai konsert kumpulan yang berasal dari Amerika Syarikat itu.

Dua kategori tiket habis dijual

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, dua kategori bagi tiket konsert berkenaan dilaporkan telah habis dijual.

Penganjurnya IME Malaysia berkata, tiket berharga RM198 dan RM428 telah manakala kategori lain iaitu RM388 (VIP, tempat duduk bernombor), RM358 (Rock Zone, berdiri bebas) dan RM288 (CAT1, tempat duduk bernombor) turut laris dan mendapat sambutan.

Siri jelajah ini juga adalah untuk menyokong kemunculan album terbaharu mereka, Dystopia selepas tiga tahun menyepi.

 

Lihat Komen
ADS