Penerbit: Buku Latiff Mohidin diterbit ikut prosedur
Di tengah kemeriahan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL 2017) yang berlangsung sekarang, tiba-tiba timbul dakwaan ada buku yang dijual di situ diterbitkan tanpa kebenaran penulis.
Penulis terbabit pula bukanlah sembarangan orang sebaliknya seniman veteran yang tidak asing lagi dalam dunia seni dan sastera.
Buku yang dimaksudkan ialah Pesisir Waktu, Sungai Mekong dan Kembara Malam, tulisan Latiff Mohidin.
Penerbit LM Studio yang menerbitkan karya Latiff mendakwa tiga judul itu diterbitkan dengan usahasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta penerbit Thukul Cetak Sdn Bhd, tanpa kebenaran penulis.
"Kami minta kerjasama para pembaca supaya tidak membeli terbitan tersebut yang mencari keuntungan semata-mata tanpa mengambil kira hak cipta penulis," kata LM Studio, dalam kenyataan di Facebook rasminya semalam.
Ketiga-tiga buku tersebut didakwa sempat dijual di PBAKL yang bermula sejak 28 April lalu.
Berikutan itu, penerbit Thukul Cetak hari ini tampil menjelaskan bahawa penerbitan tiga karya itu dibuat mengikut prosedur dan undang-undang.
"Thukul Cetak ingin memaklumkan semua urusan penerbitan dan hakcipta di antara Thukul Cetak Sdn Bhd dan juga Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telahpun selesai mengikut syarat dan terma yang dipersetujui bersama DBP bertarikh 3 Mac 2017," kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, ZF Zamir dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, selain tiga karya Latiff, Thukul Cetak Sdn Bhd juga bekerjasama dengan DBP untuk menerbitkan 14 buku lain.
Antaranya Juara karya S Othman Kelantan, Sidang Serangga oleh Pak Sako, Perempuan Anggerik oleh Faisal Tehrani, empat karya Rahmat Haroun (DiArti, Manuklon, Hikayat Neogenesis dan Panggil Aku Melaju) serta enam karya T. Alias Taib (Laut Tak Biru di Seberang Takir, Piramid, opera, Seberkas Kunci, Pasar Pengalaman dan Pemburu Kota).
"Kesemua tajuk-tajuk ini diterbitkan mengikut prosedur dan tatacara undang-undang sesuai dengan status DBP sebagai badan berkanun.
"Sudah pasti kesemua usaha ini adalah sebahagian dari projek menyemarakkan sastera masyarakat serta memperkenalkan semula penulis besar kepada pembaca muda di luar sana," jelasnya.
Bagaimanapun, ZF Zamir berkata pihaknya akur dengan permintaan agar jualan buku berkenaan di PBAKL dihentikan buat sementara waktu.
"Sebagai menghormati permintaan penulis, kesemua buku Latiff Mohidin telahpun diturunkan daripada rak sementara isu ini diselesaikan secara berhemah antara DBP dan LM Studio.
"Thukul Cetak juga terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk menyesaikan hal ini," jelasnya.

