Kumpulan thrash metal veteran dari Amerika Syarikat, Megadeth berjaya menarik lebih kira 5,000 peminat pada konsert sulong mereka di Stadium Negara, Kuala Lumpur malam tadi.

Kumpulan tersebut menyampaikan sebanyak 18 lagu antaranya Hangar 18, Wake Up Dead, Tornado of Souls, Holy Wars dan Threat Is Real.

Bermula kira-kira pukul 9 malam selepas persembahan pembukaan oleh band tempatan, Massacre Conspiracy, Megadeth turut mempersembahkan lagu Dystopia yang merupakan salah satu lagu dalam album terbaharu.

Megadeth dianggotai oleh Dave Mustaine, David Ellefson, Kiko Loureiro dan Dirk Verbeuren.

Terdahulu, beberapa jam sebelum memulakan konsertnya, Mustaine yang merupakan penyanyi kumpulan itu memberitahu, mereka sedia membuat perubahan dalam persembahan jika ada antara lagu Megadeth dianggap tidak sesuai.

"Jika ada lagu yang menyinggung perasaan orang Malaysia atau kepercayaan mereka, tolong beritahu saya.

"Saya tidak berniat menyinggung sesiapa di sana (Malaysia). Kami pernah memotong beberapa lagu untuk China," katanya di Twitter yang dilihat sebagai menjaga sensitiviti rakyat negara ini.

Megadeth ditubuhkan oleh Mustaine di Los Angeles pada 1983 tidak lama selepas beliau disingkirkan daripada kumpulan Metallica.

Mengambil genre thrash metal, Mustaine, 55, menubuhkan kumpulan berkenaan bersama pemain gitar bass, Ellefson.

Megadeth membawa lagu bertemakan tentang kematian, politik, perang dan keagamaan dalam liriknya.

Bagaimanapun Pemuda PAS mempersoalkan pihak berkuasa membenarkan konsert berkenaan berlangsung.

Ketua Penerangannya, Hishamuddin Abdul Karim, berkata penganjuran konsert itu tidak selari dengan Garis Panduan Hiburan Dalam Islam (Edisi Kedua) yang telah diterbitkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan diperakukan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 2015.

Untuk rekod, bantahan PAS kepada persembahan konsert artis barat sepatutnya tidak boleh dipandang ringan kerana pada muktamar parti itu baru-baru ini, ada perwakilan menjadikan tindakan kerajaan Selangor membenarkan Selena Gomez membuat persembahan di Shah Alam sebagai alasan untuk mereka memutuskan kerjasama dengan PKR.