Pelakon terkenal, Nur Fazura Sharifuddin meramalkan Fattah Amin, bakal menang besar pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0.
Fattah kini digandingkan dengan Fazura dalam drama bersiri, Hero Seorang Cinderella.
Fazura, 33, dilaporkan sebagai berkata bukan sesuatu yang mustahil andai Fattah, 26, dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular.
Bintang Paling Popular adalah kategori utama pada anugerah itu berdasarkan populariti diraihnya ketika ini, memetik laporan oleh bharian.com.my.
"Saya meramalkan Fattah akan menang besar pada malam kemuncak ABPBH 3.0 nanti kerana dia mempunyai ramai peminat yang sayangkan dirinya. Jenama Fattah Amin sangat kuat saat ini.
"Kalau dia menang pun memang patut kerana Fattah banyak melalui pelbagai dugaan sebelum ini.
"Saya juga pernah kata pada Fattah, jika kemenangan berpihak kepadanya, itu semua rezeki dan berkat kesabaran serta sikap redanya atas segala yang terjadi sebelum ini," kata Fazura pada majlis pelancaran single Nothing Like Pag Ibig.
Pada ABPBH 3.0, Fattah dicalonkan dalam kategori utama, Pelakon TV Lelaki Popular, dan dua kategori online, masing-masing Artis Sensasi dan Gandingan Serasi Dalam Drama.
Nama Fattah kini begitu popular sehinggakan buku 99 Kata-kata #QalifModen oleh beliau mendapat permintaan tinggi daripada orang ramai, meskipun dikecam pelbagai pihak.
Pengedar Buku MPH Book Store turut memohon tempahan kedua sejak ia dilancarkan Februari lalu, selain pembelian secara dalam talian naik mendadak, dedah Fattah sebelum ini.
"Untuk cetakan pertama pihak penerbit mengeluarkan 5,000 salinan dan Alhamdulillah setakat ini jualan sangat memberangsangkan walaupun ia dikritik hebat.
"Malah pihak MPH Book Store juga membuat tempahan baru buku itu kerana mendapat permintaan tinggi selain ia diletakkan di carta 'best seller'," katanya kepada mStar Online.
Selain MPH Book Store, 99 Kata-Kata #QalifModen Fattah Amin boleh dibeli di kafe milik Fattah iaitu Stalkerscafe selain tempahan secara dalam talian menerusi www.ideakreatif.com.
Bagaimanapun, untuk pembeli di Sabah dan Sarawak pula buku itu dijual pada harga RM53 jika dibeli di kedai manakala secara pos berharga RM65.
