Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kerana Fahri, Fedi mengaku rasa terbeban
Diterbitkan:  May 11, 2017 1:49 PM
Dikemaskini: 6:10 AM

Meski pernah membawakan watak Fahri Abdullah, aktor Indonesia Fedi Nuril mengakui dia tetap agak terbeban untuk menghayati karakter itu sekali lagi dalam Ayat-Ayat Cinta 2.

Puncanya, Fedi berpendapat impak Fahri dulu terlalu besar dan bimbang gagal membawakan watak itu seperti yang pernah dilakukannya.

“Ternyata ya (menjadi beban). Sepatutnya tida, kerana sebagai pelakon saya tidak perlu terlalu memikirkan perkara sebegitu.

"Cuma kini saya tidak dapat mengelak daripada dihimpit perasaan terbeban itu,” katanya seperti dilapor tempo.co.

Fedi atau nama sebenarnya Fedrian Nuril, 34, sedia maklum filem Ayat-Ayat Cinta asalnya dihasilkan sembilan tahun lalu dan mendapat respon luar biasa.

Ayat-ayat Cinta juga membuatkan Fedi dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Bandung 2008.

Selain itu, dia - pelakon yang memulakan kariernya sebagai model - berasa terbeban kerana watak Fahri yang semakin matang dan berpendidikan tinggi.

“Di sini pendidikan Fahri sudah tinggi. Cara dia berdakwah juga berbeza, seperti setiap hari tidak terbatas. Tahap intelektualnya juga tinggi, ini adalah ciri-ciri yang perlu saya pelajari,” katanya.

Cuba yang terbaik

Pada masa sama, Fedi berkata, dia harus mempersiapkan dirinya dengan membaca dan mempelajari buku pengajian diambil Fahri.

“Jadi, apabila berhadapan dengan bule (orang putih) tidak berasa merendah diri,” katanya.

Menurutnya, Fahri dan Ayat-ayat Cinta 2 bakal tampil dengan banyak perubahan signifikan.

“Ayat- ayat Cinta 2 bakal memberi banyak kejutan kepada penonton.

“Tetapi jika tidak mencapai kejayaan seperti yang pertama, mungkin ia bukan rezeki. Yang penting saya akan cuba menampilkan yang terbaik,” katanya.

Ayat-Ayat Cinta berkisah mengenai konflik cinta antara Fahri, Maria, Noura dan Aisha.

Filem itu diadaptasi daripada novel karangan Habiburrahman El Shirazy.

Jika sebelum ini Ayat-Ayat Cinta menggambarkan cinta tiga segi di Mesir, Ayat-Ayat Cinta 2 pula menyambung perjalanan Fahri yang menetap di Barat.

Justeru, sesuai dengan perkembangan jalan cerita, penggambaran Ayat-Ayat Cinta 2 dilangsungkan di Edinburg, Scotland dan Ofxord demi mendapatkan suasana sebenar mengikut skrip.

Filem berunsur dakwah itu diarahkan Hanung Bramantyo.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS