Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Bekas pemandu diarah bayar RM200,000 pada Zahida

Tiga hakim Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan mengarahkan seorang bekas pemandu membayar RM200,000 kepada pelakon Zahida Rafik.

Datuk Lim Yee Lan yang mempengerusikan panel itu membenarkan tuntutan balas Zahida dan mengetepikan perintah mahkamah tinggi yang mengarahkan aktres terbabit membayar ganti rugi RM150,000 kepada bekas pemandunya itu.

Lim turut mengarahkan Noor Azman Azemi membayar kos sebanyak RM50,000.

Dua lagi hakim yang bersidang hari ini ialah Datuk Dr Badariah Sahamid dan Datuk Hasnah Hashim.

Hasnah pula semasa membacakan keputusannya berkata Mahkamah Rayuan berhak untuk campur tangan dalam kes itu kerana terdapat bukti meyakinkan untuk menunjukkan wang diperolehi Zahida dan kelakuan Noor Azman pada hari kejadian - iaitu 29 Februari 2012 - boleh dipersoalkan.

"Kenyataan dibuat Zahida seperti disiarkan dalam Harian Metro mempunyai keistimewaan terlindung hasil laporan polis beliau," katanya.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Hue Siew Kheng sebelum ini dilaporkan memberi arahan supaya Zahida membayar RM150,000 kepada Noor Azman selepas didapati menuduhnya mencuri wang bernilai RM200,000 yang sepatutnya dimasukkan ke akaun aktres terbabit.

Akan buat rayuan

Dalam keputusannya mengetepikan tuntutan balas Zahida, Hue memutuskan pelakon Mami Jarum itu bukan saja memfitnah bekas pemandunya malam memalsukan invois semasa memberi keterangan di mahkamah.

"Dia (Zahida) mengemukakan pelbagai versi berhubung sumber wang RM200,000 itu. Berlaku percanggahan bukti diberikan Zahida dan ahli perniagaan serta pemilik Puncak Utas, Shaheful Ardan Adenan mengenai wang berkenaan.

“Zahida mendakwa ia adalah komisyen untuk pinjaman diberikannya kepada ahli perniagaan terbabit. Dia mendakwa wang itu sebahagian daripada keuntungan bernilai RM243,000 yang dikembalikan oleh Shaheful daripada pelaburan yang dibuatnya.

"Bagaimanapun ahli perniagaan itu dalam keterangannya berkata, RM200,000 itu adalah wang ihsan," katanya dalam penghakiman berkenaan.

Dilaporkan, Zahida mempunyai kaitan dengan bekas naib presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal namun dinafikan oleh menteri itu pada 2012.

Noor Azman memfailkan saman pada 2013 dengan mendakwa Zahida berniat jahat mengeluarkan kenyataan memburuk-burukkannya dalam suatu laporan disiarkan akhbar Harian Metro.

Katanya Zahida menuduh dia melarikan wang yang sepatutnya dimasukkan ke akaun bank pelakon terbabit.

Zahida diwakili peguam kanan Datuk Muhammad Shafee Abdullah dan Sarah Abishegam, mannakala Noor Azman diwakili Latheefa Koya.

Kata Latheefa dia menerima arahan daripada anak guamnya untuk membuat rayuan terhadap keputusan hari ini kerana ia menjadi duluan berbahaya, kerana sesuatu laporan boleh dibuat dan kandungannya pula boleh dipetik bagi mempertahankan diri daripada tuduhan fitnah.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS