Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Selebriti terkenal, Vanida Imran, hari ini berjaya mendapatkan perintah mahkamah mengarahkan sebuah syarikat pengeluar barangan kecantikan membayar lebih RM260,000 kepadanya.

Arahan itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Roszianayati Ahmad, terhadap syarikat Miliyasutra Industries Sdn Bhd yang menghasilkan produk kecantikan Ronasutra.

Bayaran sebanyak RM265,000 itu dibuat sebagai baki kontrak syarikat itu kepada pelakon tersebut.

Terdahulu Roszianayati membenarkan tuntutan Vanida ke atas perjanjian (talent agreement) yang ditandatanganinya dengan syarikat tersebut pada 2012.

Kontrak itu sepatutnya berlangsung selama dua tahun.

Roszianayati bagaimanapun tidak membenarkan tuntutan pelakon itu mendapatkan untuk ganti rugi am, teladan dan pampasan teruk serta ganti rugi RM500,000 kerana menggunakan imejnya pada produk terbabit.

Hakim juga memerintahkan Miliyasutra Industries membayar kos sebanyak RM10,950.

Pada penghakimannya, Roszianayati turut menolak tuntutan balas syarikat tersebut dan memerintahkan mereka membayar kos RM10,000.

Roszianayati berkata mahkamamah mendapati Millyasutera Industries mempunyai obligasi membayar pelakon filem Perempuan Melayu Terakhir itu bagi kontrak berjumlah RM490,000 untuk tempoh 2012 hingga 2014.

“Namun begitu, keterangan di mahkamah menunjukkan syarikat itu sendiri gagal menyediakan sesi fotografi dan iklan komersial seperti diperuntukkan dalam perjanjian tersebut.

“Justeru kegagalan defendan, mereka tidak boleh menafikan bayaran yang telah dipersetujui perlu dibayar kepada Vanida untuk tempoh dua tahun tersebut,” katanya.

Ada tuntutan Vanida ditolak

Peguam, Mohd Saiful Dzulhelmi Zulkifli mewakili Vanida manakala Millyasutera Industries diwakili Phang Soon Mun.

Vanida dalam tuntutannya mendakwa beliau telah menandatangani kontrak bernilai RM490,000 dengan defenden pada September 2012.

Apabila kontrak itu tamat pada September 2014, dia masih belum mendapat baki bayaran bernilai RM265,000.

Millyasutera Industries pula menawarkan RM60,500 sebagai pembayaran penyelesaian penuh.

Bagaimanapun, Vanida mendapati sekitar Julai tahun lepas imej beliau masih disalah guna oleh syarikat tersebut.

Justeru dia membuat tuntutan baki kontrak bernilai RM265,000 dan RM500,000 bagi penggunaan imej tanpa kebenarannya, selain ganti rugi teladan, ganti rugi am dan ganti rugi teruk pada Oktober tahun lepas.

Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan tuntutan RM500,000 atas alasan Vanida gagal membuktikan sebuah syarikat berpangkalan di Singapura mempunyai hubungan langsung dengan Millyasutera Industries.

Lihat Komen
ADS