Seni & Hiburan Malaysiakini

UNIC dapat pujian Pemuda PAS

Hiburan  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Pemuda PAS sedia berkongsi pengalaman mereka di Kelantan dalam usaha menyediakan program hiburan yang berkualiti, bermesej dan menghiburkan.

Timbalan ketuanya, Khairil Nizam Khirudin, berkata mereka juga mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama dengan pihak industri hiburan seperti syarikat penerbitan, stesen televisyen serta media Internet, malah di kalangan artis demi memartabatkan industri hiburan di Malaysia.

"Pemuda PAS positif untuk sama-sama memberikan idea dan cadangan agar program hiburan yang disajikan kepada rakyat Malaysia berkualiti, bermesej dan menghiburkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairil Nizam juga mengucapkan tahniah kepada kumpulan nasyid UNIC yang menjuarai pertandingan Gema Gegar Vaganza (GGV) yang dianjurkan Astro baru-baru ini.

UNIC diumum sebagai pemenang pada peringkat akhir siri realiti televisyen itu yang disiarkan pada 21 Mei lalu.

Khairil Nizam berkata UNIC menampilkan persembahan yang menarik serta memiliki kekuatan vokal secara keseluruhan dan ia memberi kelebihan kepada kumpulan berkenaan.

Katanya, Pemuda PAS juga tertarik dengan komen juri pada pertandingan akhir itu, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin.

"Pemuda PAS tertarik dengan salah satu komen juri jemputan iaitu Datuk Siti Nurhaliza Tarudin yang menyatakan, penyanyi nasyid adalah penyanyi terbaik dan GGV membuktikan penyanyi nasyid adalah first class," katanya.

Pada masa sama Khairil Nizam melihat perkembangan itu baik untuk industri nasyid tanah air apabila penyanyinya dapat diketengahkan ke lingkungan arus perdana hiburan negara.

"Pemuda PAS juga mengharapkan agar penambahbaikan dapat dibuat oleh penerbit atau penganjuran program hiburan agar menepati sepenuhnya garis panduan hiburan dalam Islam yang telah dikeluarkan oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia," katanya.