Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Roger Moore tutup usia
Diterbitkan:  May 23, 2017 10:08 PM
Dikemaskini: 2:23 PM

Bekas pelakon yang berjaya membawa watak ejen perisikan paling berjaya dan terhebat di dunia, Roger Moore, meninggal dunia selepas bertarung seketika melawan barah, sebentar tadi.

Kematian Moore, 89, diumum keluarganya malam ini (waktu Malaysia).

Dia menghembus nafas terakhirnya di Switzerland.

Melalui Twitter rasmi aktor itu, pengumuman dibuat warisnya menyebut hari-hari terakhir Moore dihabiskan dengan keluarga terdekat.

"Kami tahu kasih sayang dan kekaguman kita akan dikenang orang yang mengenalinya melalui filem dan televisyen di seluruh dunia selamanya, selain kerja-kerja amal bersama Unicef," kata pengumuman itu.

Menurut waris Moore, penampilan terakhir aktor itu di majlis keraian selebriti ialah di London pada 2016.

Sepanjang hidupnya Moore berlakon dalam tujuh filem Bond termasuk Live And Let Die pada 1973, The Spy Who Loved Me (1977), Octopussy (1983) dan A View To A Kill (1985).

Moore adalah aktor ketiga diberi kepercayaan membawa watak ejen perisik British yang serba tangkas dan menggoda itu selepas Sean Connery dan George Lazenby.

Selain membawa watak Bond, Moore turut pernah diberi peranan sebagai Simon Templar dalam The Saint.

Dia dikesan menghidap barah prostat pada 1993 dan ia dianggapnya sebagai detik yang mengubah hidupnya.

Pada 2013 dia disahkan menghidap kencing manis dan pneumonia memaksa dia berlajar berjalan semula.

Moore juga pernah rebah di atas pentas dan doktor terpaksa memasang alat pacemaker pada jantungnya.

Mayat Moore dijangka akan disemadikan secara tertutup di Monaco.

Lihat Komen
ADS