Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Sheila Majid berdebar menanti datangnya 5 Ogos

Setiap penyanyi mempunyai debaran terutama menjelang tarikh konsert yang akan diadakan semakin dekat, begitu juga dengan Datuk Sheila Majid.

Debaran Sheila itu kian menjadi-jadi apabila dia mengenangkan tiket bagi dua kategori konsertnya laris dijual.

Katanya, dia tidak menyangka muziknya masih diterima peminat tempatan.

Justeru, Sheila berharap benar dia dikurniakan kesihatan yang baik untuk menjayakan konsert Sheila Majid: The Concert Kuala Lumpur 2017 pada 5 Ogos ini.

Sebenarnya Sheila ada sebab untuk berasa gementar begitu.

"Beberapa jam sebelum mengadakan konsert di Brunei 12 tahun dulu saya pernah kehilangan suara. Doktor terpaksa memberi saya makan hingga lima jenis antibiotik.

"Secara jujur yang saya benar-benar takut adalah menghidapi sakit atau hilang suara apabila ingin mengadakan sesuatu persembahan.

"Tapi tugas sebagai penghibur mana boleh nak katakan tidak sekalipun sakit, tanggungjawab harus diteruskan juga," katanya.

Sheila ditemui pada sidang media kedua konsert berkenaan yang diadakan di Kuala Lumpur hari ini. Pada majlis berkenaan, Sheila memperkenalkan barisan penaja konsert yang dianjurkan oleh IME Productions (M) Sdn Bhd itu.

Untuk makluman, kategori tiket yang mendapat sambutan menggalakkan adalah bagi tempat duduk premium bernilai RM888 dan CAT1 RM388 - yang kebanyakannya dibeli oleh peminat dari luar negara.

Konsert itu akan diadakan di Stadium Negara.

Sheila, 52, berkata dia juga sedikit tertekan kerana menyedari bukannya mudah untuk memuaskan hati peminat yang lama tertunggu-tunggu sebuah konsert besar daripadanya.

“Untuk memenuhi harapan peminat adalah sukar. Tetapi perasaan yang timbul itu bagus kerana ia menunjukkan kita mahu melakukan persembahan sehabis baik demi peminat.

“Pada masa sama, saya juga turut bimbang kerana sekiranya berlaku masalah teknikal hingga apa pun tidak nampak pada hari itu.

“Bukan itu saja, dari segi lagu dan persiapan lain turut membuat saya gusar memikirkannya,” katanya.

Penyanyi Sinaran itu juga berkata, pada konsert itu nanti dia akan menggayakan empat persalinan berbeza hasil rekaan pereka fesyen terkenal Michael Ong.

Lihat Komen
ADS