Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan

Berseteru dengan kumpulan lamanya, Search, kini Yazid berazam untuk memberi sepenuh perhatian kepada Rampage yang diibaratkannya ‘lahir semula’ selepas dibidaninya 17 tahun lalu.

Tempoh hampir dua dekad itu pula akan digunakan Yazid untuk mengasuh Rampage agar mampu menggegarkan peminat. Caranya, mereka bercadang untuk menerbitkan dua album mini dalam tempoh setahun.

Menurut Yazid, meskipun lagu-lagu yang akan dipersembahkan itu sudah berusia lebih 10 tahun, dia yakin benar ia tetap mampu menjadi halwa jiwa peminat era ini.

“Bagi saya, kesemua lagu dalam album mini Rampage masih relevan dan tidak basi walaupun baru tahun ini akan dikeluarkan.

“Ini kerana muzik kami masih berbisa dan mempunyai tempat di hati pendengar, malah mungkin kalau ia dikeluarkan 10 tahun lalu, orang tidak akan faham dengan naskhah dihasilkan,” katanya.

Yazid ditemui pada sidang media santai untuk meraikan Rampage di Kuala Lumpur kelmarin.

Yazid adalah pemain dram Search sebelum berlaku kemelut dalaman yang menyaksikan dia membawa haluan sendiri meninggalkan kumpulan rock terkenal itu.

Yazid juga pernah mengugut untuk menyaman Search berhubung kemelut melibatkan sebuah konsert mega yang diuar-uarkan bakal berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada 30 Ogos tahun lalu.

Menurut Yazid, 2017 membawa petanda yang penting pada dirinya apabila bertekad untuk menaikkan nama Rampage selepas usaha itu tertangguh lama.

Akan bimbing selagi ada

Bagaimanapun, apabila ditanyakan sama ada niatnya itu berpunca daripada pengalamannya bersama Search, Yazid enggan memberikan jawapan jelas.

“Kalau anda bertanyakan selepas 17 tahun kenapa baru sekarang hendak mengumumkan Rampage, jawapan saya: ini adalah kehendak Tuhan, bukan saya.

“Selama 17 tahun saya 'bungkus' Rampage kerana ingin memberi fokus hanya kepada Search ketika itu, tetapi memandangkan saya sendiri tidak tahu di mana kedudukan (dalam Search) dan selepas memikirkan masa depan, barulah timbul idea untuk menghasilkan produk sendiri,” katanya.

Menurutnya, keputusan itu disambut baik anggota asal Rampage seperti Zham (basis) dan Moq (vokalis).

Selain mereka bertiga, kumpulan yang mengentengahkan genre hard rock, heavy rock dan world music rock itu turut dianggotai bekas pemain gitar Def-Gab-C, Jemboo; dan Rithan (Deja Voodoo Spells).

Rampage menjangkakan album mini pertama mereka akan muncul pada minggu ketiga Ramadan, manakala yang kedua empat bulan selepas itu.

Sebanyak 10 lagu disiapkan sejak pada 17 tahun akan termuat dalam album berkenaan, selain sebuah lagu bonus daripada ilham Datuk M Nasir sedang dalam susunan muzik dan rakaman.

Kata Yazid, dia berazam untuk berusaha sehabis baik untuk kumpulan itu yang dianggapnya seperti adik sendiri.

"Selagi saya ada, saya akan bimbing budak-budak ni. Saya sudah seperti abang mereka.

"Pengalaman 40 tahun dengan Search boleh membantu melakukan yang terbaik, dan menjadikan Rampage sebuah kumpulan contoh," katanya.

Lihat Komen
ADS