Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Sofia Coppola wanita kedua menang pengarah terbaik Cannes
Diterbitkan:  May 30, 2017 12:42 PM
Dikemaskini: 4:46 AM

Ketidaksetaraan gender wujud dalam semua peringkat industri.

Ia bermula daripada pencapaian filem blockbuster hingga ke Anugerah Akademi yang penuh glamor kepada Festival Filem Cannes yang berprestij.

Walaupun terdapat pelbagai hasil signifikan dipersembahkan pengarah wanita sepanjang festival berlangsung, mereka jarang diberi ganjaran hingga berakhirnya majlis penutup.

Diharapkan perkara itu boleh berubah di masa depan apabila pengarah The Beguiled, Sofia Coppola melakar kemenangan bersejarah pada acara yang berlangsung tahun ini.

Sofia - anak pengarah dan penerbit terkenal Francis Ford Coppola - menjadi wanita kedua memenangi anugerah pengarah terbaik sejak 70 tahun festival itu mengambil tempat.

Kali terakhir anugerah itu pernah dimenangi oleh seorang pengarah wanita adalah oleh Yuliya Solntseva pada 1961 menerusi The Chronicle of Flaming Years.

Sofia sebelum ini pernah memenangi anugerah lakon layar asli terbaik untuk Lost in Translation, sebuah filem yang dianggap antara terbaik untuk era 2000-an.

The Beguiled dibarisi oleh bintang hebat seperti Nicole Kidman yang membawakan watak sebagai guru besar di Miss Martha Farnsworth Seminary for Young Ladies. Manakala Kristen Dunst memainkan karakter guru Edwina dan Elle Fanning sebagai pelajar, Alicia.

Kehidupan ketiga-tiga wanita berkenaan tiba-tiba berubah 360 darjah selepas kemunculan seorang askar yang cedera, watak dibawakan Collin Farrel.

Sebelum ini The Beguiled pernah dihasilkan pada 1971, diadaptasi dari novel hasil nukilan Thomas P Cullinan, memfokuskan pada watak askar.

Bagaimanapun, menggunakan judul dan novel sama, The Beguiled dihasilkan semula oleh Sofia tetapi lebih memfokuskan kepada hubungan terjalin antara kesemua wanita sebelum datang seorang pemuda mengugut untuk mengganggu keharmonian mereka.

Dalam ucapan bertulis, dibacakan pengarah dan anggota juri Maren Ade, Sofia berterima kasih kepada pengarah Jane Campion kerana menjadi satu-satunya wanita idola buatnya yang pernah dianugerahkan Palme d’Or - anugerah tertinggi diberikan pada Festival Filem Cannes.

Jane meraih Palme d’or kerana mengarahkan filem hebat The Piano (1993) yang menyaksikan dia turut membawa pulang anugerah Lakon Layar Asli Terbaik untuk naskhah sama pada Anugerah Akademi.

Lihat Komen
ADS