Keith Foo jatuh cinta dengan perempuan baru
“Saya tidak pernah terfikir untuk jatuh cinta lagi dengan perempuan lain, tetapi hari ini, ya,” tulis Keith Foo kira-kira sejam lalu.
Itu adalah luahan perasaan Keith mengenai seseorang yang ternyata baru bertakhta di hatinya.
Namun bukanlah bermakna Keith berlaku curang atau meninggalkan isterinya. Malah kenyataan itu menunjukkan rasa gembira pelakon Ariana Rose menyambut orang baru dalam keluarganya.
Isteri Keith, Kim Raymond, baru saja selamat melahirkan anak sulung mereka awal malam ini.
Keith dan Kim dikurniakan seorang bayi perempuan.
Terdahulu, Keith memuat naik status berkenaan di Instagram bagi menggambarkan perasaan teruja mereka menerima anggota baru itu.
“Perjalanan kami dari hanya sebagai kawan berubah kepada suami dan isteri dilimpahi nikmat selain dipenuhi pelbagai cabaran.
“Tetapi sekarang kami akan cuba mewarnai kehidupan kami dengan pelbagai warna sebagai ibu bapa dalam masa tujuh jam lagi,” katanya.
Keith dan Kim mendirikan rumah tangga pada 21 Disember 2014 dan mengadakan majlis resepsi kira-kira setahun selepas itu.
Antara filem dan telefilem pernah dilakonkan Keith adalah Langit Cinta, Perempuan Lindungan Kaabah dan Girlfriend Kontrak.

