Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Menteri desak Lubnan haramkan Wonder Woman
Diterbitkan:  May 31, 2017 9:10 PM
Dikemaskini: 1:46 PM

Menteri Ekonomi Lubnan menggesa agensi keselamatan negara berkenaan mengharamkan tayangan filem Wonder Woman kerana bintang utamanya Gal Gadot berketurunan Israel.

Bagaimanapun, menurut pegawai kanan keselamatan yang dirahsiakan identitinya, tiada permohonan rasmi diterima pihak berkuasa setakat ini.

Dan sekiranya perlu menguatkuasakan sekatan itu, ia mestilah mendapat sokongan daripada enam jawatankuasa kementerian berkaitan, lapor Al Jazeera.

Poster filem arahan Patty Jenkins itu sudah mula diedarkan di setiap jalanan Beirut.

Sekurang-kurang sebuah pawagam mula menayangkan filem berkenaan lebih awal daripada sepatutnya.

Barangkali menyedari kemungkinan ia akan dipulaukan pawagam terbabit menawarkan hadiah sampingan kepada penonton, iaitu memberi bertih jagung percuma kepada sesiapa yang mendaftar sebagai ahli kelab mereka.

Lubnan secara rasmi sedang berperang dengan Israel dan sejak berdekad lalu memboikot produk keluaran negara Yahudi itu.

Selain itu, Lubnan turut menyekat rakyatnya dari pergi atau berhubungan dengan Israel.

 

 

Orang ramai yang memilih untuk memboikot Wonder Woman dilihat menggunakan media sosial sebagai pendekatan untuk berkempen menentang filem berkenaan.

Filem berkenaan diadaptasi daripada karakter komik yang mula diperkenalkan pada 1941.

Ia mengisahkan Puteri Diana - watak dilakonkan Gal Gadot - gigih menentang penjenayah, menyelamatkan mangsa dan menjatuhkan plot jahat dengan berlatar tempat Perang Dunia I.

Gal Gadot pernah berkhidmat untuk tentera Israel menentang angkatan bersenjata Hamas yang memperjuangkan kemerdekaan Palestin.

Filem itu turut mencetus pelbagai kontroversi tahun lalu apabila karakter Wonder Woman dipilih bagi menghargai duta Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk membanteras diskriminasi gender.

Puluhan ribu orang menandatangani petisyen atas talian menyatakan karakter fiskyen itu adalah pilihan yang tidak bersesuaian kerana adiwiranya memakai pakaian mencolok mata dan langsung tidak mewakili pemberdayaan gender.

PBB kemudian menamatkan peranan karakter itu sebagai dutanya selepas dua bulan dilantik.

Lihat Komen
ADS