Menghadam makna benar dalam senaskhah buku
ULASAN BUKU | Selepas Menalar Makna Diri yang diterbitkan pada 2014, kemunculan Hasrizal Abdul Jamil dengan buku Setia Dengan Kebenaran (SDK) merupakan sesuatu yang amat dinanti-nantikan oleh peminatnya.
Penantian yang agak lama ini ternyata berbaloi kerana pengarang dengan buah karya terbarunya ini langsung tidak menghampakan, malah hadir dengan aura dan kewibawaan yang cukup mantap.
Saya sendiri mengambil masa yang lama - iaitu hampir 10 hari - untuk menyudahkan buku ini. Jeda masa yang panjang ini bukan kerana SDK tidak menarik atau membosankan, sebaliknya kerana naskhah ini begitu bagus untuk dipandang sambil lewa.
Kadang-kadang perkataan yang ditulis perlu diulang-ulang membaca dan dicatat-catat. Pastinya bukan disebabkan mesej yang kabur atau sukar dihadam bahkan mesej yang disampaikan begitu menggugat dan membekas dalam pemikiran.
Ia memberi pesanan bahawa tiada apa yang lebih penting dalam hidup ini kecuali kebenaran. Atau lebih tepat, kebenaran sejati. Kebenaran yang berlandaskan al-Quran dan sunnah. Bukan kebenaran yang disangka benar oleh masyarakat. Bukan kebenaran yang dimomok-momokkan sebagai benar oleh pihak yang berkepentingan.
Yang mahu ditegaskan dalam SDK ialah kebenaran bukan persangkaan.
Bersandarkan hal ini, maka kebenaranlah yang cuba disingkap, dikupas, dirungkai setiap satunya oleh penulis melalui 42 bab yang menyentuh pelbagai persoalan semasa, kemelut dan kekalutan yang melingkari kehidupan masyarakat Islam hari ini.
Anggap benar tak semestinya benar
Berawal dari bab pertama dengan tajuk Masih Ada Betul Yang Betul Dan Salah Yang Salah, penulis mengajak pembaca mencari kebenaran tentang sikap segelintir masyarakat yang mahu berlapang dada serta reda menerima perbezaan pendapat atas perkara yang sudah jelas hukumnya dalam agama.
Mungkin sikap berkenaan ada kebenarannya apabila ia disandarkan kepada ayat 13 surah al-Hujuraat. Ayat ini membicarakan perbezaan dan keunikan manusia yang diciptakan bukan untuk bergaduh dan berbalah.
Begitupun penulis menyanggah pendirian ini dengan hujah: “Tetapi sebelum Allah menjelaskan bahawa manusia itu diciptakan-Nya berbeza-beza, Allah terlebih dahulu mendatangkankan 12 ayat di dalam surah yang sama berbicara tentang apa yang betul dan yang yang salah dalam berkelakuan kita. Bahawa perbezaan bukan alasan untuk kita bebas berkelakuan apa saja atas nama perbezaaan (halaman 3).
Kata Hasrizal, segelintir masyarakat hanya mahukan sesuatu yang dianggap benar tetap bukan semestinya kebenaran sejati menurut apa yang dinyatakan Allah SWT.
Dia mengajak pembaca untuk meneliti kesan yang akan berlaku terhadap sikap ini dengan berhujah: "Kesannya ialah seperti langsung tiada apa yang muktamad dalam kehidupan. Hingga tidak tahu apa yang hendak dipegang sebagai pegangan dalam hidup ini. Hidup tanpa panduan. Semuanya betul belaka. (halaman 1).
Banyak lagi persangkaan-persangkaan yang dianggap "kebenaran" diulas penulis buku ini.
Buku yang ampuh
Antaranya isu membabitkan perbalahan politik dan polemik agama, tabiat loyar buruk sesetengah orang Islam setiap kali diajak berbincang dan takrif "benar" oleh anak-anak muda yang ghairah berdakwah tanpa bekalan ilmu mencukupi.
Begitupun melalui SDK, penulisnya tidak menyatakan secara spesifik mengenai senario semasa yang diperbincangkan tetapi mengambil pendekatan memberikan kiasan.
Untuk pembaca yang peka kepada isu semasa, mereka boleh mengagak dan mudah untuk menghubungkan perbincangan dengan senario yang dimaksudkan.
Seperti buku-bulu sebelumnya, Hasrizal masih mengekalkan tulisan secara santai dari sela-sela travelog kehidupan. Bagaimanapun ia adalah penulisan yang membawa keilmuan yang tinggi.
Setiap ayat yang dinukilkan terhasil daripada siri kajian, penyelidikan dan penelitian yang panjang.
Pembaca yang mencari kebenaran dalam kehidupan akan terinspirasi dan berpuas hati dengan buku ini.
Bagi mereka yang mengikuti tulisan Hasrizal sebelum ini melalui buku-buku Aku Terima Nikahnya, Rindu Bau Pohon Tin, Secangkir Teh Pengubat Letih, Di Hamparan Shamrock Kuseru Nama-Mu, SDK menyerlah sisi sebenar pengarang dan kepengarangannya yang mahu memberi ilmu dan menyampaikan kebenaran kepada pembaca.
Tanpa elemen komersil atau popular dengan membumbui cinta, nikah dan sewaktu dengannya, buku ini berdiri sendiri sebagai sebuah buku yang ampuh.
Namun buku ini masih boleh diperbaiki khususnya membabitkan aspek teknikal.
Penting untuk penerbit mengenal pasti setiap isu yang dibincangkan pada setiap bab.
Persamaan tema yang dibincangkan dalam setiap bab ini seharusnya dkumpulkan untuk dibuat pemisahan dan pengasingan agar reka letak buku menjadi lebih teratur dan kemas.
Tajuk: Setia Dengan Kebenaran
Penulis: Hasrizal Abdul Jamil
Penerbit: Jejak Tarbiah Resources
Halaman: 330 muka surat
NOR RAIHAN ABU BAKAR bekas wartawan yang kini berkhidmat sebagai pensyarah kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Melaka

