Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Bagaikan menjadi trend pada masa ini apabila setiap kali kedatangan Syawal, pasti muncul rekaan fesyen yang cuba untuk memberi sentuhan baru terhadap pakaian tradisonal seperti baju Melayu.

Pada tahun ini, selebriti perniagaan, Datuk Aliff Shukri pula mencuri tumpuan selepas memuat naik gambar di Instagram memperagakan fesyen menyerupai baju Melayu tanpa lengan.

Akibatnya, tindak tanduk selebriti yang popular dengan slogan 'Terlajak Laris' itu menerima cemuhan daripada warga maya.

Ini kerana rekaan yang dikatakan sempena koleksi hari raya Aidilfitri itu dianggap tidak sesuai serta tidak menghormati ciri-ciri baju Melayu tradisional.

Bagaimanapun, Aliff berkata rekaan berkenaan pada awalnya bukan untuk dijual kepada sesiapa tetapi hanya untuk dipakai sendiri.

“Sebenarnya, saya memakai fesyen berkenaan untuk ke majlis tertentu. Tetapi terdapat segelintir pengikut di media sosial memberikan mesej secara peribadi meminta agar pakaian sama dihasilkan untuk mereka,” katanya kepada Malaysiakini.

Bagi Aliff yang juga pengasas produk D’herbs, inilah masanya untuk dia mengembangkan produk dan melariskan jualannya, apatah lagi apabila rekaan itu mendapat respon positif.

Katanya, tidak salah sebagai seorang ahli perniagaan mencuba sesuatu yang baru dan membawa kelainan asalkan tidak mendatangkan dosa.

“Memang baju ini berkonsep ala K-Pop, tetapi bagi sesiapa yang tidak suka, mereka boleh memakai baju ini di bahagian dalam saja. Saya sengaja inginkan kelainan.

“Kalau permintaan tinggi, sebagai ahli perniagaan, kita akan keluarkan mengikut permintaan.

“Bagi saya, selagi tidak menampakkan aurat dan tidak haram maka tiada masalah untuk menggayakan fesyen yang diingini,” katanya.

'Lali dikutuk'

Terdapat dua versi daripada rekaan sama yang dihasilkan, satu tanpa lengan dan satu lagi berlengan untuk disesuaikan mengikut citarasa pembeli. Aliff berkata rekaan itu tidak semestinya dipakai pada waktu raya sehaja kerana ia juga sesuai dipakai di majlis kasual.

Butik Aliff yang beroperasi di Bukit Damansara menawarkan harga promosi untuk rekaan berkenaan hingga Ahad ini.

Harga ditawarkan adalah dari serendah RM150 - untuk pelanggan terawal - selain diberi seluar dan samping percuma.

Walaupun sering mendapat cemuhan, Aliff menganggap perkara itu sebagai asam garam dalam dunia perniagaan.

“Mereka kata macam-macam tetapi koleksi baju raya saya pun dah nak licin (habis) ni dan baju tanpa lengan itulah juga yang orang terkejar-kejar,” katanya.

Bagi Aliff, dia sudah lali dengan sindiran masyarakat yang datang tanpa henti.

“Kutuk itu perkara biasa, saya hanya mencari rezeki yang halal untuk anak bini.

“Itu mulut orang dan kita tidak boleh hendak puaskan hati kesemuanya," katanya.

Lihat Komen
ADS