Penyanyi Phil Collins dimasukkan ke hospital selepas jatuh dan terhantuk di kepala, menyebabkan konsert jelajah yang dijadualkan terpaksa ditangguhkan.

“Dia bangun untuk pergi ke tandas pada waktu malam dan tergelincir di bilik hotelnya dan terhantuk pada kepala lalu mengenai kerusi,” menurut kenyataan disiarkan Facebook rasmi Collins.

Menurut kenyataan itu, Collins memang mempunyai masalah untuk berjalan kerana pernah menjalani pembedahan di belakang badan.

Ekoran insiden berkenaan, kepala Collins yang mengalami pendarahan yang serius terpaksa dijahit.

Penyanyi Another Day In Paradise itu menangguhkan persembahannya Not Dead Yet Live Tour yang dijadualkan pada hari ini dan esok di Royal Albert Hall, London.

Ia kemudian dipinda ke tarikh baru iaitu 26 dan 27 November.

Collins dijangka meneruskan aktiviti jelajah pada Ahad ini di Cologne, Jerman dan kemudian beraksi di Paris sebelum pulang ke London untuk persembahan di Taman Hyde pada 30 Jun.