Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Menteri Laut Indonesia dipuji DiCaprio
Diterbitkan:  Jun 12, 2017 5:37 PM
Dikemaskini: 9:42 AM

Nama Menteri Laut dan Perikanan Indonesia Susi Pudjiastuti menjadi sebutan ramai apabila dipuji aktor Hollywood, Leonardo DiCaprio, kerana ketegasannya membenteras aktiviti nelayan haram.

Pujian pemenang anugerah Oscar itu dibuat selepas Susi menyampaikan ucapan dalam konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai laut di New York.

DiCaprio berkata Susi memberikan contoh yang baik dalam menuju era pengurusan perikanan dengan membuat sistem pemantauan kapal perikanan dengan satelit melalui platform Global Fishing Watch (GFW).

"Ini adalah langkah kepimpinan yang berani yang kita perlukan di seluruh dunia," katanya seperti dilapor Tribunnews.com.

Sebelum menutup pidatonya, DiCaprio turut mengundang lebih banyak negara untuk terus bersama dalam usaha memelihara laut bagi kepentingan generasi akan datang.

"Pada hari ini - Hari Laut Sedunia - tanya diri anda, apa yang boleh kita lakukan, apa langkah berani yang boleh kita buat untuk melindungi planet biru kita sebelum terlambat?" katanya.

Konvensyen PBB mengenai laut atau disebut juga The Ocean Conference merupakan perbincangan diperingkat antarabangsa yang mencari jalan untuk melestarikan dan memanfaatkan laut tanpa merosakkannya.

Selepas dipuji DiCaprio, Susi sekali lagi mendapat perhatian netizen apabila fotonya bersahaja tidur selepas menghadiri konvensyen itu tular di media sosial.

Menteri pilihan Jokowi

Foto itu dirakam di ruang rehat VIP Lapangan Terbang John F Kennedy, New York.

Ia yang dimuat naik oleh Jim B Aditya di Facebooknya malam tadi kini mendapat kongsian lebih 2,000 kali.

“Perempuan hebat ini layak diberi gelaran Ibu Laut Indonesia. Tertidur kepenatan di VIP Lounge lapangan Terbang John F Kennedy, New York, Amerika Syarikat,” kata Jim dalam Facebooknya.

Posting itu mendapat perhatian netizen, antara lain mereka memuji Susi.

Iwan Munajat: Dalam tidurpun banyak yang memujimu

Agustina Asatuan: Luar biasa... Saluuut pada wanita serba bisa ini.

Irwan Kusmana: Semoga Ibu ini diberi kekuatan dan kesihatan untuk mengurus laut Indonesia.

Untuk rekod, pelantikan Susi, 52, memang menjadi buah mulut ramai sejak dia dipilih Presiden Joko Widodo pada Oktober 2014.

Tidak seperti kebanyakan menteri, Susi hanya mengikuti pengajian peringkat sekolah menengah.

Wanita kelahiran Pangandaran itu kemudian menjual barang perhiasannya untuk mengumpul modal - dikatakan bernilai Rp750,000 (RM240.50) untuk memulakan perniagaan jual beli ikan.

Sedikit demi sedikit perniagaannya berkembang maju dan produk membawa label "Susi Brand" diasaskannya itu berkembang sehingga ke AS.

Pada 2004 dia membeli sebuah pesawat udara Cessna Caravan menggunakan pinjaman bank untuk mengangkut ikan dan udang segar ditangkap nelayan ke pasar di Jakarta dan Jepun.

Pada awal pelantikannya Susi giat membanteran kegiatan pencerobohan nelayan asing di perairan Indonesia. Satu daripada pendekatan diambil Susi ialah meletupkan kapal nelayan asing yang dirampas pihak berkuasa Indonesia.

Lihat Komen
ADS