Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Aliff tawar ganjaran pada pemberi maklumat
Diterbitkan:  Jun 19, 2017 8:50 PM
Dikemaskini: 2:03 PM

Selebriti jutawan kosmetik, Datuk Aliff Syukri menawarkan habuan sebanyak RM5,000 bagi sesiapa yang dapat menjejaki pembantu rumahnya yang kini didakwa melarikan diri.

Aliff malah turut menguar-uarkan perkara terbabit menerusi status dimuat naik pada akaun Instagram miliknya petang tadi.

"Perhatian semua. Ini adalah mesej khas. Berikut adalah individu paling dikehendaki di Malaysia dan dunia. Jika anda boleh bantu dan berkongsi perkara ini saya akan membalas dengan hadiah istimewa.

"Individu ini mencuri jam ribuan ringgit, cincin dan paling penting sejumlah besar wang," tulisnya.

Harian Metro hari ini melaporkan polis menahan tiga orang, termasuk bekas pekerja dan pembantu rumah Pengarah Urusan D'Herbs Holding (M) Sdn Bhd itu kerana dipercayai mencuri wang tunai dan barang kemas bernilai RM100,000.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Somu Subramaniam berkata, suspek ditahan selepas mangsa membuat laporan polis sebaik menjumpai penyata bank pada 4 petang semalam.

Pihak berkuasa itu kini sedang memburu tiga lagi suspek.

Tidur hotel kerana trauma

Ekoran kes kecurian itu, Aliff turut menyatakan kini mengalami trauma hingga dia dan keluarga terpaksa bermalam di hotel.

"Saya takut tidur di rumah sendiri. Sekeluarga terpaksa tidur di hotel.

"Orang gaji bawa jantan tidur di rumah ketika saya tiada dan mencuri.

"Malah tukang kebun saya tahu tapi tidak maklumkan kepada saya kejadian ini dan bersekongkol membelikan telefon bimbit dan top up selama ini," katanya.

Dalam kejadian itu, Aliff mendakwa beliau kehilangan barangan berharga dan wang tunai bernilai RM100,000

Pada Rabu lalu, kisah "Bibik Pencuri" menjadi bualan pengguna maya apabila Aliff bertindak mendedahkan perkara terbabit menerusi rakaman lintas langsung di media sosial.

Bagaimanapun, Aliff ketika itu mengakui termakan pujuk rayu hingga membatalkan hasratnya untuk mengambil tindakan dan melaporkan kepada pihak berkuasa selepas menyedari kejadian terbabit.

Selepas beberapa hari rakaman klip video itu menjadi tular, kali ini pembantu rumah Aliff mengambil tindakan drastik dengan melarikan diri bersama barang berharga miliknya.

Dan selepas pisang berbuah dua kali, Aliff akhirnya tampil membuat laporan polis.

Menurut Aliff, tujuan dia membuat laporan berkenaan supaya oang ramai boleh mencegah kejadian sama daripada berulang.

"Apabila kes pembantu saya mencuri saya memang naik marah dan mereka merayu untuk tidak dihantar polis. Saya termakan pujuk rayu atas dasar belas kesian sesama manusia.

"Tetapi bila mereka bertiga dan seorang lelaki iaitu suami salah seorang daripada mereka sebagai tukang kebun pun turut berkerjasama untuk mencuri wang, jam dan cincin saya bernilai RM100,000, saya tidak lagi percaya pada bibik yang gaya bak malaikat.

Justeru dia tekad melaporkan perkara itu kepada polis walaupun tidak sampai hati berbuat demikian.

"Saya menyeru polis menangkap dan membenteras mereka yang sedang berlegar-legar di sini supaya tidak ada lagi orang yang terkena nasib seperti saya," tulisnya.

Lihat Komen
ADS