Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
4 produksi filem dapat hak harta intelek
Diterbitkan:  Jun 20, 2017 11:24 PM
Dikemaskini: 6:57 PM

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Keruak menyempurnakan penyerahan harta intelek kepada empat buah syarikat produksi tempatan hari ini.

Pesona Picture Sdn Bhd, Infinite Motion Sdn Bhd, Tangan Seni Sdn Bhd dan Funcel Sdn Bhd menerima hak milik kandungan harta intelek bagi karya terbitan masing-masing.

Syarikat berkenaan menerima sijil hak milik harta intelek itu menerusi filem Tanda Putera (Pesona Picture), Oh La La (Infinite Motion), Kanang Anak Langkau (Tangan Seni) dan 7 Satria (Funcel).

Salleh menyampaikan sijil berkenaan pada majlis berbuka puasa bersama penggiat industri seni anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) di Hulu Klang.

Penyerahan kandungan harta intelek itu adalah inisiatif kementerian menerusi Finas yang dianggap perintis kepada usaha membangunkan platform pemasaran dan pemilikan kandungan oleh produksi tempatan.

Keempat-empat syarikat berkenaan diberi pembiayaan penerbitan melalui Dana Animasi dan Dana Kenegaraan Finas.

Turut hadir pada majlis itu Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad, Pengerusi Finas Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib dan Ketua Pengarah Finas Datuk Fauzi Ayob.

Presiden dan ahli persatuan perfileman, karyawan, penggiat industri, penyiar adalah antara tetamu yang hadir.

Pada masa sama, Finas turut menghulurkan bantuan Aidilfitri kepada seniman dan karyawan yang kurang bernasib baik.

Lihat Komen
ADS