Di luaran dia nampak hampir ada segala yang diingini seorang wanita seperti wang dan populariti. Namun apabila ditanya mengenai lelaki, Ruhainies sebenarnya lebih teliti mengenai hal itu.

Bercakap mengikut pengalaman, Ruhainies berkata dia tidak rela dijadikan trofi buat mana-mana lelaki yang ingin mendekatinya.

“Dulu saya pernah berkawan dengan seorang pemuda, tetapi dia menjadikan saya seperti trofi, tidak ikhlas tetapi hanya berniat mahu menayang kekasih," katanya kepada Malaysiakini.

Disebabkan itu, Ruhainies atau nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 24, kini tidak mahu lagi dijadikan sekadar tayangan kepada umum.

"Saya bukan jenis wanita yang gemar begitu. Selagi belum pasti si dia adalah jodoh kita, tidak perlulah menunjuk-nunjuk,” katanya yang bersyukur kerana usianya semakin matang untuk menilai sikap seseorang lelaki.

Justeru, pelakon Hello Mr Perfect! akan membuat pertimbangan terlebih dahulu sebelum sesuatu hubungan pergi lebih jauh dan bagi memastikan pengalaman lalu tidak berulang.

“Saya boleh baca sikap seseorang, biasanya kalau lebih dari tiga bulan berkawan dah boleh tahu sedikit sebanyak isi hati mereka. Iyalah, sampai bila nak sorok kalau seseorang itu ternyata memiliki sifat buruk,” katanya.

Untuk makluman, biarpun kurang dari dua tahun berkecimpung dalam industri, nama adik kepada pelakon Risteena Munim itu tidak lekang dengan kontroversi.

Anak kelima dari lima beradik itu pernah dikaitkan dengan beberapa nama antaranya Datuk Seri Adnan Abu atau Datuk Red iaitu suami kepada penyanyi Adira dan pelakon Azrel Ismail. Bagaimanapun, Ruhainies menafikan mempunyai sebarang hubungan dengan kedua-duanya.

Ekoran sering digosipkan dengan beberapa lelaki, Ruhainies juga pernah digelar sebagai playgirl oleh segelintir pihak. Tetapi apa yang pasti, anak kelahiran Kepala Batas, Pulau Pinang itu hingga kini masih dilihat “kosong” tanpa kehadiran seorang lelaki bergelar kekasih di sisi.