Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Ingatlah dosa fitnah pada Saleem...'
Diterbitkan:  Jul 7, 2017 3:21 PM
Dikemaskini: 8:38 AM

Isteri Saleem Iklim, Juriah @ Julia Bachok kesal tuduhan segelintir pihak yang mendakwa penyakit suaminya berpunca daripada bahan terlarang.

Tidak cukup dengan itu, ada juga beberapa laman sesawang turut menyebarkan berita palsu kononnya Saleem meninggal dunia.

Justeru, Julia berharap masyarakat tidak mudah mempercayai sebarang spekulasi berkaitan vokalis Iklim itu.

“Apa salahnya kita mendoakan yang terbaik untuk abang Saleem agar dia cepat sembuh dan kembali memeriahkan industri seni tanah air. Janganlah kita terus menghukumnya atas kesalahan silam.

“Kena ingat dosa orang yang suka buat fitnah. Saya berterima kasih terhadap peminat yang memberikan komen yang baik dengan mendoakannya di laman sosial," katanya seperti dilapor Harian Metro.

Menurut Julia, Saleem yang baru tampil dengan single Karma Cinta sudah dua bulan berhenti merokok dan bercadang menunaikan ibadah haji.

“Jika diizinkan Allah, abang Saleem memang berniat nak ke Mekah kerana mahu membersihkan dirinya,” katanya.

Tunggu sembuh untuk menyanyi

Walaupun kecewa dengan dakwaan dan berita tidak sahih terbabit, Julia berkata, Saleem kini masih hidup dan berada dalam keadaan stabil.

“Buat masa ini cuma demam panasnya tidak menentu, ada masanya turun dan naik.

“Saya minta kepada mereka yang menyebarkan cerita palsu kononnya dia meninggal agar berhenti membuat dosa dengan menyebarkan fitnah," katanya.

Kelmarin, penyanyi kumpulan Iklim itu dimasukkan ke Pusat Perubatan Pakar UKM, Cheras akibat mengalami demam panas berlarutan.

Katanya lagi, hingga kini doktor masih mencari punca sebenar penyakitnya.

"Mungkin beberapa hari lagi barulah kita dapat keputusan yang tepat. Tapi doktor mengatakan ia mungkin kerana jangkitan kuman dalam darah.

"Insya-Allah saya biarkan dia berehat di wad sehingga betul-betul sembuh sebelum kembali menyanyi,” katanya.

Mengenai sebarang cerita palsu disebarkan pihak yang mempunyai kepentingan, Julia berkata dia akan membawa mereka ke muka pengadilan sekiranya perlu.

“Saya tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang mengeluarkan sebarang cerita palsu mengenai abang Saleem,” katanya.

Dia turut meminta peminat merujuk berita daripada sumber media yang dipercayai serta di Instagram @aku_saleem milik Saleem dan @ju_saleem bagi mendapatkan maklumat yang sahih.

Lihat Komen
ADS