Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Seksi biasanya dikaitkan dengan wanita. Namun bagi pelakon dan penyanyi Alif Satar, lelaki yang hobinya memasak itu juga mempunyai daya seksi tersendiri.

Malah, katanya, lelaki yang berasakan diri mereka kurang tampan tidak perlu khuatir untuk memasak kerana kelebihan itu membawa nilai tambah kepada mereka.

“Lelaki perlu buat sesuatu yang romantik seperti memasak kerana orang perempuan sukakan perkara begitu.

“Memasak juga seksi, selain memberi kelainan kerana kalau muka tidak kacak macam saya tapi boleh masak, 'saham' pasti naik,” katanya dengan nada berseloroh.

Alif yang popular menerusi drama Dia Semanis Honey itu berkata, amalan memasak juga berupaya mengeratkan lagi kasih sayang antara suami dan isteri.

Sebab itu, Alif tidak kisah mengambil alih tugas isterinya, Sha Dila Halid pada ketika tertentu.

“Saya gemar buat kejutan pada isteri. Saya minta dia pergi ke salon misalnya, kemudian saya sediakan masakan untuknya walaupun pada masa sama kena jaga anak.

“Masa isteri sedang berpantang juga, saya mengambil alih tugas memasak untuknya. Bukan susah pun,” katanya.

Lelaki cef terbaik

Alif ditemui pada sidang media tontonan filem Memori Pajeri Nanas terbitan Astro First Ekslusif di Kuala Lumpur semalam.

Filem yang akan memulakan tayangan 20 Julai depan ini menampilkan Alif - atau nama penuhnya Muhammad Alif Mohd Satar - sebagai Chef Armand, tukang masak yang sudah kehilangan sentuhan emasnya.

Dalam kehidupan peribadi, Armand juga perlu memenangi semula hati isterinya, Kayla, yang dilakonkan Tiz Zaqyah.

Cara yang ada ialah dengan menyediakan hidangan menggunakan air tangan Armand sendiri.

Dalam pada itu, Alif, 28, berkata dia tidak berasa janggal malah terbuka untuk melakukan tugas yang biasa dilakukan wanita.

Dia yang turut dikenali sebagai hos langsung tidak boleh menerima tanggapan sesetengah pihak yang menganggap dapur adalah tempat untuk wanita saja.

“Alif tidak langsung berasa begitu (persepsi) kerana datang dari keluarga yang biasa memasak.

“Bagi Alif, cef terbaik di dunia adalah lelaki,” katanya yang bakal muncul dalam drama Red Velvet bergandingan dengan pelakon Neelofa tidak lama lagi.

Lihat Komen
ADS