Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Belajar nikmati detik intim cara Umm Muladhat
Diterbitkan:  Jul 20, 2017 5:14 PM
Dikemaskini: 9:21 AM

Kerana mahu memperbetulkan salah faham, seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Umm Muladhat tampil dengan buku panduan seks halal.

Buku berjudul The Muslimah Sex Manual: A Halal Guide to Mind Blowing Sex bolehlah dianggap sebagai sebuah naskhah daripada wanita untuk wanita.

Dianggap pertama seumpamanya, buku karangan Umm Muladhat itu dikatakan bakal mencabar pandangan konservatif mengenai wanita Islam.

Sebahagian pembaca pula menganggap buku berkenaan sebagai memberi semangat.

Bercakap kepada HuffPost UK, Umm Muladhat berkata, salah faham terbesar orang ramai terhadap wanita Islam ialah, mereka takutkan seks atau terlalu bersederhana dalam isu itu.

"Saya tidak perlu memberi kekuatan kepada mereka sebab mereka sudah begitu.

"Apa yang wanita Islam perlukan bukanlah perubahan sikap, tetapi panduan yang praktikal," katanya.

Pengalaman yang ngeri

Sebelum ini kata Umm Muladhat dia ada terjumpa beberapa buku berkaitan seks dan Islam tetapi tiada satu pun - sekurang-kurangnya pada pandangan wanita itu - yang praktikal.

Apa yang ditulis katanya tertumpu kepada pernikahan, dan satu atau dua bab menjelaskan betapa hubungan intim yang diikat dengan pernikahan adalah bagus dan bagaimana menikmatinya.

"Tidak ada apa-apa penerangan mengenai cara-cara sebenar memupuk kehidupan seksual.

"Saya memang setuju bahawa perkahwinan bukan sekadar mengenai seks.

"Penting untuk bercakap mengenai hal inni tetapi sudah ada banyak buku mengenainya.

"Bagaimana menghangatkan kehidupan seks Muslim? Hampir tak ada naskhah bahasa Inggeris yang diterbitkan," katanya.

Umm Muladhat juga mengakui, kehidupan seks "yang mengerikan" seorang wanita muda mendorong dia menghasilkan buku berkenaan.

"Dia seorang muslimah sejak kecil. Sangat jarang bersentuhan antara bukan mahram dan teruja dengan perkahwinan. Bagaimanapun akhirnya dia kecewa," katanya.

Untuk tempoh enam bulan pertama menjadi isteri, kata Umm Muladhat, pengantin baru yang dikenalinya itu tidak pernah merasai nikmat sebenar bersenggama dengan suaminya.

Pujuk kongsi rahsia

"Dia tidak tahu bagaimana menjadikan si suami benar-benar menikmati detik mereka bersama di atas ranjang. Malah dia tak tahu sama ada suaminya benar-benar puas atau tidak," katanya.

Pendedahan itu kemudian mendorong Umm Muladhat menganjurkan bengkel kemahiran seks yang membolehkan dia berkongsi maklumat dengan wanita Islam.

Pengisian bengkel itu adalah daripada pengalamnya sendiri, serta perkongsian dengan rakan-rakan lain, serta rencana dalam pelbagai majalah.

Kemudian apabila dia duduk di sebelah pengantin baru kenalannya itu, barulah nampak senyum lebar pada wajah wanita terbabit.

Dan dia memujuk Umm Muladhat berkongsi ilmu yang diajarnya itu dengan wanita Muslim lain.

Bermula daripada tulisan ringkas mengenai rahsia detik intim, tulisan Umm Muladhat kemudian tersebar luas di kalangan penduduk setempat.

Dan akhirnya ia dibukukan sebelum diterbitkan minggu lalu. Di Amazon buku The Muslimah Sex Manual: A Halal Guide to Mind Blowing Sex itu dijual pada harga £12.28 (RM68.40) senaskhah.

Lihat Komen
ADS