Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Vokalis Linkin Park bunuh diri
Diterbitkan:  Jul 21, 2017 8:44 AM
Dikemaskini: 5:46 AM

Vokalis kumpulan metal terkenal, Linkin Park, Chester Bennington, 41 dijumpai mati tergantung di rumahnya semalam, dipercayai akibat membunuh diri.

AFP memetik pejabat koroner Los Angeles sebagai berkata, mereka menerima panggilan sejurus selepas jam 9 pagi (waktu tempatan) yang memaklumkan mengenai penemuan mayat penyanyi utama kumpulan Linkin Park itu di kediaman mewahnya di Palos Verdes.

Ketua Operasi pejabat itu, Brian Elias, berkata kes berkenaan disifatkan sebagai kejadian bunuh diri.

Mempunyai enam orang anak menerusi dua perkahwinan, Bennington sebelum ini memang sudah diketahui mempunyai masalah ketagihan dadah dan alkohol.

Penyanyi ini juga pernah menyatakan niat untuk membunuh diri sebelum ini akibat tekanan pernah didera sewaktu kecil.

Sementara itu, pemain gitar dan komposer utama Linkin Park, Mike Shinoda dalam status beliau di akaun Twitter dipetik sebagai berkata: "Terkejut dan sangat sedih, tetapi ia benar".

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Bennington secara terbuka mengakui mengenai zaman kanak-kanaknya yang penuh bermasalah di Arizona.

Katanya, beliau didera secara seksual selama bertahun lamanya oleh seorang kenalan keluarga dan bertukar menjadi seorang penagih dadah dan alkohol selepas ibu bapanya bercerai ketika berusia 11 tahun.

Pada Mei lalu, Bennington juga pernah melahirkan rasa sedih yang begitu mendalam atas kematian rakan karibnya, vokalis kumpulan Soundgarden, Chris Cornell.

Linkin Park pernah mengadakan persembahan di Kuala Lumpur sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2003 dan 2013.

Lihat Komen
ADS