Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Justin Bieber tak dialu-alukan di China
Diterbitkan:  Jul 21, 2017 7:09 PM
Dikemaskini: 11:17 AM

Bintang pop Kanada, Justin Bieber disifatkan sebagai 'tidak sesuai' untuk memasuki China kerana tingkah lakunya yang buruk dan perlu memperbaiki kelakuannya terlebih dahulu sebelum diterima republik itu.

Tanpa menyatakan sebab khusus, Biro Kebudayaan Perbandaran Beijing berkata penyanyi itu tidak sesuai berada di China ketika menjawab soalan salah seorang peminat Bieber dalam laman web pihak berkuasa itu.

"Kami harap Justin Bieber akan terus memperbaiki tingkah laku dalam proses kedewasaannya dan menjadi penyanyi yang sangat disayangi orang ramai," katanya.

Tidak jelas sama ada ulasan di laman web rasmi kerajaan itu merupakan satu bentuk pengharaman, atau jika terdapat usaha oleh penyanyi itu untuk melawat China sekali lagi.

Syarikat pengurusan Bieber tidak memberikan maklum balas berkenaan hal itu.

Bieber pernah tiba ke China dan mendapat liputan meluas apabila dia menanggalkan baju ketika membuat persembahan di Beijing dan turut dilihat berjalan di Tembok Besar China dalam keadaan tidak berbaju.

Media China melaporkan Januari lalu bahawa Bieber akan kembali semula tahun ini, tetapi tiada tarikh yang tepat diumumkan.

Dia juga dilapor akan tampil di Tokyo, Hong Kong dan Singapura pada September dan Oktober ini, menurut laman web penyanyi itu.

Sebelum ini beberapa nama besar turut disekat daripada membuat persembahan di China, termasuk Lady Gaga, Bjork dan Bon Jovi, yang kesemuanya telah bertemu atau menyatakan sokongan kepada pemimpin Tibet yang dipinggirkan, Dalai Lama.

"Justin Bieber telah memenangi banyak anugerah besar, dia mempunyai banyak bakat, mengapa peminat China tidak diberikan hak untuk menghargainya?" Soal He Wenrui, yang menulis kepada Biro Kebudayaan Beijing.

Lihat Komen
ADS