Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Syamsul Yusof pengarah terbaik Festival Filem Asia Pasifik
Diterbitkan:  Jul 31, 2017 12:27 PM
Dikemaskini: 4:35 AM

Munafik membanggakan Malaysia malam tadi apabila membolehkan Syamsul Yusof mengungguli Anugerah Festival Filem Asia Pasifik (FFAP) ke-57 menerusi kategori pengarah terbaik.

Acara berkenaan berlangsung Phnom Penh, Kemboja malam tadi.

Sebagai tanda kegembiraan, Syamsul memanjatkan kesyukuran selain berkongsi perasaannya menerusi Twitter bersama peminat.

“Filem Malaysia Munafik menang Anugerah Pengarah Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik #Alhamdulillah #tqAllah,” tulisnya.

Sementara itu, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Datuk Khusairi Talib turut mengucapkan tahniah kepada pengarah muda berbakat berkenaan.

“Tahniah @SyamsulYusof84 menang Anugerah Pengarah Terbaik pada Filem Festival Asia Pasifik ke-57 di Phnom Pehn melalui Munafik. Malaysia berbangga,” katanya.

Kejayaan Syamsul menjadikan dirinya pengarah kedua yang menjulang gelaran berkenaan, 17 tahun selepas allahyarham Yasmin Ahmad turut melakar sejarah pada festival sama.

Pada acara itu, Yasmin diiktiraf sebagai pengarah terbaik untuk Mualaf, filem terakhir dihasilkannya pada FFAP ke- 54 di Taipei pada Disember 2010.

Munafik, filem seram yang turut menampilkan Syamsul sebagai pelakon utama berusaha untuk membantu seorang wanita (Nabila Huda) yang dirasuk.

Syamsul yang membawa watak sebagai ustaz pada masa sama masih tidak dapat menerima kematian isteri yang baru meninggal dunia.

Filem yang ditayang pada 25 Februari 2016 di tanah air itu mendapat kutipan sebanyak RM19 juta. Munafik turut ditayang di Brunei dan Singapura.

Munafik dianugerahkan sebanyak lima anugerah pada Festival Filem Malaysia tahun lalu termasuk kategori Filem Terbaik Bahasa Kebangsaan dan Pelakon Wanita Terbaik menerusi lakonan Nabila.

Munafik 2 yang bakal menyusul untuk ditayangkan, telah pun memulakan penggambaran pada Mac lalu.

Filem itu menampilkan Maya Karin dan Nasir Bilal Khan sebagai pelakon yang akan menjayakan sekuel Munafik berkenaan.

Lihat Komen
ADS