Bagaimana perasaan apabila tiba-tiba anda dihujani ucapan tahniah bertalu-talu?
Itu yang dialami Datuk Eizlan Yusof baru-baru ini, malah disedari sebaik beliau terjaga daripada tidur.
Semuanya kerana suatu artikel di ruangan gosip akhbar yang menyatakan dia sudah berjumpa bakal mentuanya.
Kata Eizlan, menerusi mesej yang diterima, mereka berkongsi kegembiraan atas perkhabaran dalam artikel berkenaan.
"Terus-terang saya katakan, memang bangun saja dari tidur terus terkejut, sebab dapat hingga ratusan mesej daripada kawan-kawan yang mengucapkan tahniah," katanya.
Eizlan atau nama lahirnya Idris Md Yusof, 46, ditemui semasa majlis tontonan media Pencuri Hati Mr Cinderella di Kota Damansara, Petaling Jaya semalam.
Eizlan adalah seorang daripada pelakon yang mendapat kepercayaan pengarah, Ahmad Idham, untuk menjayakan filem berkenaan.
Mengulas mengenai kesahihan isi kandungan artikel berkenaan, pelakon Perempuan Melayu Terakhir itu dengan tegas menafikan dakwaan itu.
Hati mula terbuka
Menurut Artikel itu Eizlan didakwa sedang mengenali hati budi seorang gadis berstatus pelajar universiti di luar negara.
"Ingin saya tekankan bahawa perkara itu tidak benar sama sekali.
"Namun, memang sebelum artikel itu terbit, saya memang ada memaklumkan kepada media bahawa saya sudah bersedia untuk menerima kehadiran wanita baru dalam hidup, tapi cuma itu saja," katanya.
Pada masa sama, apabila diajukan soalan sama ada dia marah atau terkilan dengan artikel berkenaan ini jawapannya: "Nak ketawa pun ada pada masa tu, tapi tak adalah rasa marah. Cuma saya harap ia menjadi doa dan benar-benar berlaku," katanya.
Menurut duda anak tiga itu, dia sudah pun mula membuat perancangan yang banyak bersama pasangan baru sekiranya rumah tangganya terbina semula.
Antara niatnya itu ialah menunaikan haji.
"Sebenarnya hati saya mulai terbuka untuk berteman sebab sudah rasakan tidak boleh hidup seorang lagi.
"Pada usia sebegini, sudah sampai masanya saya tunaikan haji dan mungkin perkara itu boleh dilakukan bersama suri hati baru, insya-Allah," katanya.
