Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Selepas kantoi Aliff kata Afifah dolak-dalik
Diterbitkan:  Aug 8, 2017 12:10 PM
Dikemaskini: 4:17 AM

Seakan tidak akan berkesudahan, kontroversi membabitkan dua pelakon Izinkan Aku Mencintaimu berlarutan lagi apabila Aliff Aziz mempersoalkan tindakan Afifah membiarkan tangannya dipegang di sebuah pusat karaoke.

Aliff membangkitkan perkara itu selepas Afifah tampil memohon maaf secara terbuka semalam berhubung isu yang mencemari reputasinya sebagai pendatang baru dalam industri seni.

“Dia (Afifah) patungkah hingga biarkan tangannya saya pegang? Bukan dia tak boleh menepis atau menolak tangan saya.

“Malah Afifah ada menerima kiriman WhatsApp daripada isteri saya pada sebelah pagi sebelum insiden kantoi di pusat karaoke itu. Namun, Afifah pergi juga pusat karaoke terbabit,” katanya.

Afifah sebelum ini ditemui Bella Astillah - isteri Aliff - di sebuah pusat karaoke di Cheras, Kuala Lumpur bersama suaminya itu.

Sebuah klip rakaman video memaparkan mereka berpegangan tangan sambil keluar dari premis itu kemudian menjadi tular.

Kenyataan itu menggambarkan seolah-olah Aliff masih tidak berpuas hati dengan jawapan Afifah walaupun selepas aktres itu memberikan penjelasan.

Kata Aliff dia sudah menerima balasan kerana keluar dengan Afifah namun pelakon wanita terbabit didakwanya masih memberi alasan yang tidak relevan.

“Saya terima hukuman cash kerana perkara itu diketahui isteri hingga kantoi pada petang sama, tetapi Afifah terus berdolak-dalik hingga membabitkan pelakon lain iaitu Allana Amir yang kononnya akan turut bersama kami di pusat hiburan itu,” katanya seperti dilapor BH Online.

Pada masa sama, Aliff turut mempertikaikan tahap pemikiran Afifah apabila terlalu menurutkan kemahuan produksi yang kononnya meminta dia bermanja berdua.

Alasannya, bagi membangkitkan mood ketika penggambaran selain melayan karenah Aliff yang lambat serta tidak datang ke set bagi melunaskan baki lakonan.

“Afifah ada menyebut dirinya menjadi mangsa keadaan apabila pihak produksi menyuruhnya melayan kerenah dan bermanja dengan saya.

"Dia cakap ini dapat beri mood dan saya akan datang ke lokasi penggambaran untuk melunaskan baki penggambaran.

“Jika betul apa yang dikatakan itu, saya mahu bertanya: berapa usia Afifah hingga tak boleh tentukan apa yang betul atau salah," katanya.

Menurut Aliff dia sudah berusia 26 tahun manakala Afifah 24 tahun.

Sebagai wanita matang, katanya, Afifah sepatutnya boleh menolak daripada melakukan perkara yang diarahkan pihak produksi.

“Jangan guna alasan kononnya masih baru dalam dunia seni. Bukan dia tak dibayar untuk berlakon. Dia ada hak menolak perkara yang bertentangan dengan kemahuan sendiri,” katanya.

Kenapa identiti tak didedah

Aliff berkata, kalau hendak diikutkan, sekiranya benar dia mendatangkan masalah kepada pihak produksi, mengapa isu itu tidak diambil tindakan sewajarnya.

Malah katanya, sepanjang bergelar pelakon, dia tidak pernah berdepan isu besar misalnya tidak datang ke set.

“Saya tak perlu nak selamatkan diri dengan membabitkan orang lain. Saya sendiri mengaku silap sebelum ini dan meminta maaf kepada isteri, keluarga, peminat dan semua pihak atas khilaf yang dilakukan.

“Saya fikir Afifah akan matang berdepan hal ini. Saya dan dia tahu perkara sebenar seperti apa yang saya tegaskan sebelum ini.

“Apabila saya teliti semula kenyataan Afifah semalam, memang ada yang tak masuk akal. Apa yang terjadi adalah hal peribadi, tak perlu babitkan produksi yang beri rezeki. Jangan nak tegakkan benang yang basah.

“Malah jika saya bermasalah tak datang set sehingga lapan hari atau lambat sekalipun, pihak produksi boleh hubungi saya. Mereka boleh saman dan bertindak jika saya tak melunaskan komitmen yang sudah dipersetujui,” katanya.

Alif turut meragui bukti rakaman perbualan kakak Afifah iaitu Anzalna dengan individu didakwa bekerja dengan syarikat produksi drama terbabit.

Katanya, sesiapa boleh “berlakon” menjadi pekerja produksi itu semata-mata untuk memperdengarkan kenyataan mereka kepada wartawan.

Yang menghairankan Aliff, mengapa rakaman itu tidak boleh dirakam semula oleh media atas alasan menjaga reputasi.

"Kalau rasa betul, kenapa tak didedahkan saja identiti individu yang dimaksudkan.

"Afifah juga ada bangkitkan soal perundangan dan dia ada bukti yang kukuh jika apa-apa terjadi. Saya juga boleh berbuat demikian kerana sudah berunding soal itu," katanya.

Aliff turut mempersoalkan bagaimana Allana sebagai pelakon yang baru dikenali Afifah, boleh tampil memberi penjelasan pada sidang akhbar semalam.

"Apa masalah Allana sebenarnya? Bukan dia ada setiap hari di set penggambaran pun. Apa yang dia cuba lakukan saya kurang pasti atau mungkin cuba mengambil kesempatan untuk jadi popular dengan kontroversi ini," katanya.

Lihat Komen
ADS