Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan

Pengalaman bermalam selama dua hari dalam lokap bukan sahaja membuat Aliff Aziz serik malah insiden itu meninggalkan kesan mendalam terhadap dirinya.

Bercakap dalam sidang media hari ini, penyanyi itu mengakui kesilapan dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan yang boleh melukakan hati isterinya, Bella Astillah dan keluarga mereka.

"Saya dengan merendah hati mengakui bersalah dalam hal ini terhadap isteri dan keluarga mentua.

"Saya berbesar hati isteri sanggup beri peluang kedua. Bukan senang nak cari isteri yang baik dan mampu tahan sabar," ujarnya.

Kata Aliff, tidak ada yang lebih berharga selain dapat mengecap kebebasan selepas Bella menarik semula laporan polis terhadapnya.

"Leganya apabila isteri menarik semula dakwaan selepas saya bermalam di Balai Polis Dang Wangi.

"Sebagai manusia, apabila kebebasan ditarik, ia adalah benda paling berat. Dua hari terasa begitu lama tetapi itu adalah cara Tuhan beri kesedaran betul-betul pada muka ini," katanya.

Alif atau nama sebenarnya Mohamad Aliff Aziz, 26, ditemui pada sidang media di Hotel Bukit Jelutong, Shah Alam hari ini.

Ini adalah kenyataan pertama Alif sejak dibebaskan dengan jaminan polis pada Sabtu lalu.

Penyanyi kelahiran Singapura itu ditahan polis pada 2.30 pagi Jumaat selepas Bella melaporkan insiden dirinya bergelut dengan suaminya itu di sebuah pusat karaoke di Taman Shamelin, Cheras pada Khamis.

Minta 'pihak di sana' tampil

Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah yang baru 23 hari berpantang melahirkan Mohamad Ayden Adrean pada 8 Julai lalu.

Pasangan itu berkahwin pada 9 September tahun lalu.

Untuk makluman, Bella hadir ke pusat karaoke berkenaan ditemani ibunya kira-kira jam 4.30 petang untuk mencari Alif dan menemui suaminya itu sedang bersama pelakon baru Afifah Nasir, 24.

Bella kemudian dikatakan memarahi suaminya dan merakam beberapa keping gambar Aliff hingga menyebabkan berlaku pergelutan antara mereka. Akibat pergelutan itu, Bella mendakwa mengalami luka pada bahagian muka dan lutut.

Aliff dalam kenyataannya turut menafikan dakwaan memukul Bella seperti dilaporkan sesetengah media dan sebaliknya mengakui hanya berlaku pergelutan antara mereka berdua.

Tambah Aliff, untuk tidak mengeruhkan keadaan, pihaknya mengalu-alukan Afifah untuk tampil memberikan penjelasan.

"Pihak di sana boleh tampil memberikan kenyataan supaya boleh meredakan spekulasi yang timbul," katanya.

Sebelum ini, Afifah yang juga adik kepada pelakon Anzalna Nasir mendakwa wujud salah faham berhubung insiden berkenaan dan mendakwa pertemuan dengan Aliff adalah atas urusan produksi.

Terlalu ikut perasaan

Sementara itu, Bella yang turut hadir sidang media itu mengakui tindakannya membuat laporan polis terhadap suaminya kerana terlalu mengikutkan perasaan.

"Saya buat aduan bukan nak menghukum tetapi kerana terkejut, bergelut (hingga cedera) dan sebab orang ketiga.

"Walaupun suami saya meminta maaf beribu kali, kejadian ini bukan hanya disebabkan kesalahan yang dia lakukan seorang," katanya.

Tambah Bella, selepas kejadian itu, dia berharap Afifah akan menjauhkan diri daripada suaminya.

Dalam pada itu, Bella turut mengambil kesempatan untuk menitipkan pesan kepada golongan wanita agar saling menghormati antara satu sama lain.

"Kepada wanita di luar sana, kena jaga diri jangan sampai kita saling tidak mempercayai satu sama lain, kita patut saling membantu dan jaga batas," katanya.

Lihat Komen
ADS