Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Jailangkung filem seram lakonan aktres penakut

Memang sukar menghadapi ketakutan, namun pelakon Indonesia Amanda Rawles memilih cara agak berbeza untuk mengatasi perasaan itu - dengan berlakon filem seram.

Menceritakan pengalamannya terbabit dalam Jailangkung, Amanda berkata jika diikutkan perasaan dia akan kekal jadi penakut sampai bila-bila.

Amanda kemudian mula memikirkan cara yang lebih baik untuk melawan perasaan itu. Justeru dia menyahut cabaran bagi menjayakan filem pengarah terkenal Jose Poernomo dan Rizal Mantovani itu.

“Sebelum ini saya langsung tak terfikir untuk muncul dalam filem seram sebab saya memang penakut, terutama apabila ada kaitan makhluk halus.

“Tetapi saya menggunakan perasaan itu bagi meningkatkan mutu lakonan supaya hasil diberikan nampak lebih realistik,” katanya ketika ditemui selepas majlis tayangan perdana filem berkenaan baru-baru ini.

Ketakutan Amanda turut diuji apabila ada beberapa perkara misteri berlaku ketika penggambaran erlangsung. Antaranya kru produksi tiba-tiba dilihat ketawa anpa sebab.

Sementara itu aktres jelita baru berusia 16 tahun itu menyatakan, seboleh-bolehnya dia tidak mahu melepaskan peluang menyerlahkan bakatnya dalam filem seram kerana Jailangkung adalah lakonan pertamanya untuk naskhah genre itu.

Seru roh orang mati

Malah pelakon I Love You From 38,000ft itu berkata, dia juga ingin meraih pengalaman bekerja dengan dua pembikin filem seram yang berbakat.

Jailangkung adalah kisah urband legend yang banyak diceritakan di Indonesia. Mana mungkin saya lepaskan peluang untuk berlakon buat pertama kali dalam filem seram.

“Ini juga di luar jangkaan, dan sebab utama saya menerima tawaran berlakon adalah kerana meyakini bakat dua sutradara pakar dalam pembikinan filem seram,” katanya.

Jailangkung yang turut dibarisi pelakon seperti Jefri Nichol, Wulan Guritno dan Hannah Al Rashid akan ditayangkan di layar perak di tanah air mulai 10 Ogos ini.

Ini adalah versi Jailangkung terbaru dari Jose dan Rizal yang sebelum ini pernah menghasilkan versi klasik Jelangkung yang popular pada 2001 - dan dikatakan berjaya mengaktifkan dunia perfileman Indonesia yang hampir mati.

Jailangkung mengisahkan tiga anak perempuan Ferdy - Bella, Angel dan Tasya - yang cuba menyiasat perkara sebenar sebaik bapa mereka ditemui tidak sedarkan diri.

Di sebuah pulau, Bella, Angle dan Tasya cuba mencari kaitan boneka kayu dikenali sebagai Jailangkung yang digunakan untuk memanggil roh orang mati, dengan misteri yang berlaku pada bapa mereka.

Jailangkung sudah ditayangkan di Indonesia pada 25 Jun lalu dan berjaya menarik dua juta tontonan untuk tempoh tayangan dua minggu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS