Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Orked dah tak sabar
Diterbitkan:  Aug 15, 2017 7:16 PM
Dikemaskini: 11:25 AM

Nampak benar bukan orang ramai saja yang rimas dengan pelbagai kejadian keganasan politik yang berlaku sejak akhir-akhir ini.

Hari ini pelakon Sharifah Amani secara terbuka berdoa akan pilihan raya umum segera diadakan.

Tujuannya, dia mahu menggunakan haknya mengundi dan segera menamatkan "sarkis" yang sedang berlangsung kini.

"Cepatlah pilihan raya supaya sarkis ini segera berakhir, Tak sabar nak mengundi dah ni," katanya di Twitter.

 

 

Sekali imbas, tweet pembawa watak Orked dalam filem Sepet dan Gubra itu biasa-biasa saja. Tetapi apabila dilihat kepada siri tweetnya, didapati dia mengulas apa yang berlaku ke atas Tun Dr Mahathir semasa program Nothing To Hide 2.0 pada 13 Ogos lalu.

Sebelum itu Sharifah Amani, 31, mengulang siar tweet anak Dr Mahathir, Marina, yang melampirkan laporan berita mengenai suspek yang terbabit dalam kekecohan berkenaan.

Petang ini pula, dengan melampirkan tweet Dr Mahathir, Sharifah Amani menulis: "Semoga Allah memberkati anda dengan ketenangan, kasih sayang dan kekuatan, Tun."

 

 

Dia juga menyatakan memang menjadi tanggungjawab kepada rakyat negara ini yang layak untuk mengundi.

"Sebagai rakyat, kita memilih orang yang sanggup bekerja untuk kita. Jangan biarkan orang lain membuat pilihan untuk kami. Nyatakan pendirian. Mengundilah!" katanya lagi.

Dr Mahathir cuba dicederakan ketika beliau menjawab soalan hadirin yang berada di Dewan Raja Muda Musa di Shah Alam semasa menghadiri forum Nothing To Hide 2.0.

Forum itu dianjurkan Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (ARMADA).

BERSATU dan Pakatan Harapan menuding jari kepada Umno sebagai dalang di sebalik kekecohan itu, tetapi Umno menafikannya.

Beberapa pihak malah mendakwa BERSATU sengaja mencipta kekecohan berkenaan untuk kepentingan mereka sendiri.

Sharifah Amani bukanlah pelakon sembarangan. Pernah memenangi anugerah pelakon wanita terbaik Festival Filem Malaysia ke-19 pada 2006 (melalui filem Gubra), dia juga selalu dikenang kerana kemunculannya dalam filem-filem arahan allahyarhamah Yasmin Ahmad.

Antara filem lakonan anak kelahiran Selangor itu ialah Muallaf pada 2008 dan Mukhsin (2006).

Lihat Komen
ADS