Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Anak tak gamak sabotaj Saleem
Diterbitkan:  Aug 16, 2017 4:11 PM
Dikemaskini: 8:27 AM

Seakan sedar diri sendiri, Syafiq Farhain mengakui tidak pernah terlintas di fikirannya untuk menggunakan kelebihan vokalnya bagi mensabotaj bapa sendiri, Saleem.

Katanya, sebagai anak tidak mungkin dia mahu mengganggu rezeki orang yang bertanggungjawab membawa dia ke dunia ini.

Bagaimanapun Syafiq mengakui ada ketikanya dia membawakan lagu pernah dinyanyikan Saleem dan sedikit persamaan gaya suara menyebabkan penganjur mahukan begitu.

"Memang ada masanya penganjur mahu saya menyanyikan lagu ayah. Maklumlah, dia seorang penyanyi legenda.

"Walaupun saya mempunyai suara seakan-akan sama dengannya, saya masih tidak mampu menyaingi ayah. Tambahan pula bakat saya tidaklah sehebat dia," katanya seperti dilaporkan BH Online.

Isu Saleem dan Syafiq bukan sesuatu yang baru malam penyanyi itu sendiri pernah membuat kenyataan terbuka menegur anaknya melalui media.

Baru-baru ini, sebuah rancangan hiburan tempatan turut mengeluarkan kenyataan mengenai Saleem yang melarang Syafiq daripada menggunakan namanya untuk mengejar populariti.

Isteri Saleem kini, Julia Bachok, pula dilaporkan menganggap anak tirinya itu sudah menyekat rezeki penyanyi terbabit.

Rezeki semua Tuhan tentukan

Dakwaan Julia itu, kata Syafiq, memang membuat dia sangat terkejut.

"Sebagai anak, saya tidak tergamak mahu menggugat atau periuk nasi ayah sendiri.

Namun, Syafiq mengakui, rezekinya mencurah-curah datang selepas video dia menyanyi menjadi tular di Internet dan mendapat undangan menjayakan pelbagai majlis.

Malah, ketika namanya diumumkan di hadapan penonton pun dia akan diperkenalkan sebagai anak kepada penyanyi kumpulan Iklim itu.

"Sejujurnya, saya tak pernah cakap atau memberitahu saya anak Saleem. Bagaimanapun, kebanyakan orang sudah tahu hal itu.

“Apabila nama dipanggil untuk naik ke pentas, pengacara majlis sendiri mengumumkan siapa saya," katanya.

Diminta memberikan penjelasan mengenai hubungannya dengan Saleem, Syafiq bagaimanapun menjelaskan, mereka tidak mempunyai sebarang masalah.

"Setahu saya, kami tidak pernah ada masalah. Apa pun, terpulang pada ayah atau Julia untuk bercakap macam mana sekali pun. Saya tak mahu mengeruhkan keadaan. Saya percaya pada rezeki semua ditentukan Allah," tuturnya.

Selain menyanyi, Syafiq sebenarnya berkhidmat sebagai anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat di Putrajaya.

Dia baru saja muncul dengan single pertama berjudul Sayang Maafkan Aku di bawah naungan label MVM Production.

Terdahulu, Sayfiq pernah mengeluarkan kenyataan dia tidak berhasrat untuk meninggalkan kerjayanya semata-mata untuk bergelar penyanyi.

Lihat Komen
ADS