Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Mueller ulangi lagi: Saya tak sentuh punggung Taylor
Diterbitkan:  Aug 16, 2017 11:20 PM
Dikemaskini: 3:25 PM

Bekas hos radio David Mueller mempertahankan dirinya dalam satu temubual selepas kalah dalam perbicaraan kerana mencengkam punggung Taylor Swift, Isnin lalu.

Selepas keputusan juri diumumkan, Mueller berkata tidak terlintas dalam fikirannya untuk memegang punggung penyanyi pop terbabit ketika bergambar di sesi suai kenal pada Jun 2013.

“Apa saya cuba beritahu ialah, saya tidak buat apa yang mereka dakwa. Saya tidak pernah meraba dia.

“Saya juga tidak pernah memasukkan tangan ke bawah skirt dipakai Taylor dan saya yakin boleh lulus ujian poligraf,” kata Mueller seperti dilapor US Magazine.

DJ yang berpangkalan di Denver itu menjelaskan pertemuan bersama penyanyi Blank Space itu terasa janggal kerana dia muncul untuk menyertai sesi bergambar pada saat akhir.

“Saya belum bersedia malah tidak dijemput untuk bergambar, jadi saya cuba buat yang terbaik ketika itu,” katanya.

Berani berkata tidak

Taylor bagaimanapun dalam keterangannya berkata, Mueller telah merabanya dengan memasukkan tangan ke dalam skirt.

“Memang punggung saya dicengkam dengan lama. Dia masih memegang punggung saya walaupun ketika saya beredar darinya. Saya benar-benar tidak selesa,” katanya.

Mueller mendakwa dia tidak menginginkan wang pampasan daripada Taylor, cuma sekeping nota untuk membersikan namanya.

“Saya meminta sesuatu dalam bentuk tulisan kerana terdapat salah faham. Dan mungkin nota itu boleh digunakan untuk meyakinkan seseorang di stesen radio agar menerima saya bekerja,” katanya.

Mueller pada masa sama berkata, dia mungkin akan merayu keputusan juri.

Dalam laporan terdahulu, juri memihak kepada Taylor dan mengarahkan Mueller untuk membayar penyanyi kelahiran AS itu wang bernilai AS$1.

Peguam Taylor, J Douglas Baldridge, menjelaskan dalam kenyataannya bahawa anak guamnya mahukan pampasan simbolik itu untuk menunjukkan kepada wanita di luar sana agar berani berkata tidak.

Pemenang anugerah Grammy itu juga mengeluarkan kenyataan dengan berterima kasih kepada hakim, juri dan pasukan undang-undangnya selepas perbicaraan.

“Terima kasih kerana berjuang untuk saya dan sesiapa yang berasa mereka telah disenyapkan oleh serangan seksual terutama kepada mereka yang menawarkan sokongan bagi tempoh empat tahun percubaan dan proses perbicaraan panjang selama dua tahun.

“Saya berharap dapat membantu melontarkan suara bagi sesiapa yang patut didengar dan merancang untuk menyalurkan dana untuk beberapa organisasi bagi membantu mangsa serangan seksual mempertahankan diri mereka di mahkamah,” katanya.

Lihat Komen
ADS