Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Dayang suntik semangat atlet dengan Bangkit Bersama
Diterbitkan:  Aug 17, 2017 7:03 PM
Dikemaskini: 11:11 AM

Penyanyi Dayang Nurfaizah Awang Dowty yang menggalas tanggungjawab menyanyikan lagu tema Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, ‘Bangkit Bersama’ pada acara pembukaan Sabtu ini berazam memberi ‘nyawa’ kepada lagu itu dan berharap ia dapat dijiwai setiap rakyat Malaysia.

Menyifatkan tugas itu peluang sekali seumur hidup, penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak itu berkata lagu ‘Bangkit Bersama’ bukan sekadar lagu tema tetapi juga suntikan semangat buat rakyat untuk terus memberi sokongan kepada atlet-atlet negara yang bakal bertanding dalam temasya kali ini.

“Impian saya hanyalah untuk memberikan yang terbaik dan berharap setiap penonton menjiwai pengisian lagu tersebut," katanya kepada Bernama.

Hasil sentuhan komposer Datuk Ramli M.S, lirik lagu ‘Bangkit Bersama’ adalah gabungan idea rakyat Malaysia yang disumbangkan menerusi medium terbuka iaitu Facebook, Twitter, Instagram dengan menggunakan #laguKL2017 sejak Mei lepas.

Pelancaran lagu ini juga melengkapkan tiga lagu tema yang dicipta bersempena temasya sukan itu iaitu Tunjuk Belang nyanyian monoloQue, Azlan dan maliQue; serta 'So Many Hands' dendangan Miq Palencia untuk iklan rasmi edisi ke-29 ini.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dijadual merasmikan upacara pembukaan KL2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini yang dijangka dihadiri 80,000 penonton.

Ini merupakan kali keenam Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA dengan kali terakhir pada 2001 di mana lagu tema bertajuk Demi Semangat Kesukanan (Sukan SEA 2001) ciptaan komposer Helen Yap dengan lirik bahasa Melayu ditulis oleh Loloq manakala lirik bahasa Inggerisnya oleh Tom Leng, dinyanyikan oleh Lynn Ali.

Mengakui agak gementar untuk persembahan kali ini, Dayang berkata persembahannya pada upacara pembuka tirai KL2017 itu akan menggunakan 'minus one'.

Selain membuat latihan suara di rumah, pelantun lagu hits Lelaki Teragung dan Di Pintu Syurga itu sudah mula terlibat dengan 'sound check' dan raptai sejak minggu lepas untuk memastikan persembahan yang mantap.

Pernah main tenis

Dalam pada itu, berkongsi minat mengenai sukan, Dayang berkata beliau pernah bermain tenis semasa kecil.

"Bapa Dayang pernah melatih budak-budak bermain tenis tapi pada masa tu saya tak ada pun rasa nak main tenis. Kadang-kadang rasa menyesal juga, kalau tak sudah tentu saya pandai bermain sukan itu," kata penyanyi yang popular dengan irama pop dan R&B itu.

Seperti rakyat yang lain, penyanyi berusia 36 tahun itu turut meletakkan harapan tinggi kepada wira dan wirawati negara untuk meraih kejayaan cemerlang dalam setiap acara sukan yang disertai.

Dalam pada itu, klip video Bangkit Bersama yang dimuat naik di laman YouTube sejak seminggu lepas sudah ditonton lebih 100,000 kali.

Menerusi ruangan komen, netizen dengan gelaran 'baddest boo' berkata: "Cannot wait for the live version. Dayang would be amazing".

Netizen, Afiq Shukri pula berkata "Lirik yg sangat bagus. Lagu ni mmg pembangkit semangat patriotisma. Terima kasih Dayang dan Dato' Ramli M.S", manakala bukanbintangbiasa menulis: "Amazing..Best lagu ni…..i think Lirik dia sgt kuat... apa yg nak disampaikan amat jelas".

KL2017 akan berlangsung secara rasminya pada 19 hingga 30 Ogos, melibatkan penyertaan 5,000 atlet dari 11 negara dalam 404 acara daripada 38 jenis sukan.

Penganjuran temasya sukan dwitahunan itu kali ini menyaksikan Malaysia sebagai tuan rumah buat kali ke-6 sejak 1965.

Lihat Komen
ADS