Aktor Hollywood Mark Wahlberg disenaraikan sebagai pelakon yang memperoleh pendapatan tertinggi di dunia menurut majalah Forbes.

Mengikut laporan dikeluarkan majalah kewangan itu baru-baru ini, bekas penyanyi rap itu dianggarkan memperoleh pendapatan AS$68 juta (hampir RM291 juta) antara Jun 2016 hingga Jun 2017.

Jumlah itu sekaligus mengatasi pendapatan penggusti The Rock atau Dwayne Johnson yang merupakan tertinggi tahun lepas.

Jumlah bayaran Wahlberg itu merangkumi bayaran yang diterimanya untuk filem komedi Daddy’s Home 2, filem aksi Transformers: The Last Knight, perjanjian dengan syarikal komunikasi AT&T dan program realiti TV bersiri memaparkan keluarganya, Wahlburgers.

Johnson berada pada tangga kedua tahun ini dengan pendapatan diraih sebanyak AS$65 juta (RM278 juta) menerusi bayaran diperoleh daripada filem Baywatch dan Jumanji.

Vin Diesel, yang merupakan bintang dan penerbit Fast & Furious 8 selain memberi suara bagi watak baby Groot dalam filem Guardian of the Galaxy 2 naik ke kedudukan ketiga dengan pendapatan AS$54.5 juta (RM233 juta).

Walaupun hasil karya Adam Sandler dalam Netflix menerima kritikan hebat, perjanjian lumayan dengan perkhidmatan strim video itu mengekalkannya di kedudukan lima tertinggi. Pelawak terkemuka itu berada di tangga keempat dengan pendapatan AS$50.4 juta (hampir RM216 juta).

Bintang aksi dari China, Jackie Chan pula berada hanya satu tangga di bawah Sandler dengan pendapatan dianggarkan AS$49 juta (hampir RM210 juta).

Manakala Robert Downey Jr, Tom Cruise dan bintang Bollywood Shah Rukh Khan, Salman Khan dan Akshay Kumar berada pada kedudukan 10 tertinggi dalam senarai berkenaan.

Mungkin, sesuatu yang tidak mengejutkan apabila kesemua aktor di atas jelas diberi bayaran lebih tinggi berbanding gandingan pelakon wanita mereka.

Bintang La La Land dan pemenang Oscar Emma Stone adalah aktres wanita yang mendapat bayaran tertinggi dalam senarai Forbes minggu lalu iaitu sebanyak AS$26 juta (RM111 juta), yang jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan Wahlberg, menyerlahkan lagi jurang gaji di Hollywood.

Pendapatan 10 aktor pada kedudukan teratas mencatatkan kumulatif AS$488.5 juta.

Jumlah itu hampir tiga kali ganda lebih tinggi daripada AS$172.5 juta (RM738 juta) iaitu gabungan jumlah pendapatan diterima 10 wanita dengan bayaran paling mahal.

Forbes menyelaraskan jumlah pendapatan diperoleh daripada data Nielsen, ComScore, Box Office Mojo, IMDB termasuk wawancara dengan orang dalam industri. Kesemua angka berkenaan adalah sebelum potongan cukai, bayaran untuk agen, pengurus dan peguam.