Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Berpisah sebagai suami isteri, tetapi kemudian bersama-sama menaiki pelamin - tanpa dendam - dengan masing-masing diiringi pasangan baru.

Ia adalah suatu bayangan yang kedengaran begitu indah sekali, apatah lagi jika orang di atas pelamin itu nanti ialah Norman Hakim dan Abby Abadi.

Bukan, mereka yang pernah diijabkabulkan itu tidaklah bersanding sebagai suami isteri, sebaliknya masing-masing digandingkan dengan pasangan sekarang.

Pada majlis itu nanti Norman akan bersanding dengan isterinya, Memey Suhaiza, manakala Abby dengan suaminya sekarang, Muhammad Faizal Zakaria.

Mungkin tidak pernah dibuat orang, tetapi Norman mempunyai alasan kukuh untuk berbuat demikian.

Kata Norman peluang itu diambil bagi mengumpulkan kesemua anggota keluarga - sesuatu yang Norman tidak pernah ada kesempatan untuk melakukannya sebelum ini.

“Majlis itu menggambarkan bagaimana kehidupan kami selepas berkahwin dan membawa haluan sendiri. Kami juga akan bersanding bersama anak-anak.

“Majlis itu menjadi satu-satunya acara rasmi yang akan menghimpunkan keluarga besar (saya dan Abby) termasuk anak-anak daripada perkahwinan terdahulu.

“Sebelum ini, kami tidak pernah ada masa untuk berkumpul bersama-sama memandangkan anak-anak semuanya bersekolah asrama,” katanya.

Tak letak harga

Bagaimanapun, untuk yang teruja mendengarnya, sila bersabar. Rancangan Norman itu masih diperingkat perbincangan dan tertakluk kepada persetujuan Abby.

Norman ditemui pada sidang media pengumuman duta Mahligai Impian di Mutiara Damansara, Selangor semalam. Memey turut hadir menyerikan.

Sebenarnya, majlis persandingan anjuran Mahligai Impian Katering Sdn Bhd itu diadakan bagi meraikan ulang tahun keenam perkahwinan Norman dan Memey.

Pada masa sama ia diadakan untuk menguar-uarkan pelantikan Norman dan Memey sebagai duta Mahligai Impian.

Majlis bertemakan Islamic Vintage yang akan diadakan di Selayang, Selangor itu melibatkan jemputan antara 1,000 hingga 2,000 orang.

Selain bersanding majlis kesyukuran sempena khatam al-Quran anak sulung Norman dan Abby, Mohamad Danish Hakim akan turut diadakan nanti.

Sementara itu, mengulas mengenai pelantikannya sebagai duta, Norman memberitahu dia dan isterinya enggan meletakkan sebarang harga kepada syarikat katering dan pengurusan majlis perkahwinan itu.

Menurut Norman, sebahagian keuntungan diperoleh akan disalurkan bagi membantu rumah kebajikan anak yatim Pertubuhan Kebajikan Iman & Aman sebagai sumbangan saham akhirat masing-masing.

“Kami tidak meletakkan harga sebab nama pertubuhan amal itu lebih besar. Saya cuma ingin tumpang pahala di situ.

“Kalau lebih, dapatlah saya bayar zakat, tetapi kalau kurang, itulah rezeki saya,” katanya.

Lihat Komen
ADS