Prima Domestika bukti Joe tidak main-main
Kesungguhan Joe, bekas gitaris kumpulan rock Wings demi mencapai impian membangunkan kugiran terbarunya Prime Domestic boleh dilihat sejak beralih arah daripada Wings kira-kira enam bulan lalu.
Malah Joe turut membuktikan tahap keseriusannya itu apabila kurang daripada tiga minggu lagi, album sulung Prime Domestic berjudul Prima Domestika bakal memasuki pasaran.
Prime Domestic juga menjangkakan untuk mengadakan konsert pertama mereka pada 9 Disember depan di Oasis Village, Ara Damansara, Selangor.
“Semua orang tahu saya tidak pernah main-main dalam bab seperti ini. Apabila menyebut tentang komitmen, usaha anggota kami semestinya dilakukan seratus peratus.
“Keyakinan saya terhadap Prime Domestic sangat tinggi, tetapi apa bakal terjadi kita semua perlu bersabar untuk menempuh fasa itu nanti.
“Kadang-kadang ada pihak mahu menilai sama ada kami betul-betul serius mahu mengorak langkah dalam industri ini,” katanya.
Joe ditemui selepas sesi persembahan 10 buah lagu daripada album Prima Domestika anjuran Life Scape & Mind Space di Oasis Village, hujung minggu lalu.
Antara lagu dimuatkan dalam album itu adalah, Kurnia, Lu Baca Sendiri, Takkan Aku Begitu, Sidang Berasap, Sedingin Pluto dan Tekno Dewata.
Kebiasaannya, sesi pradengar diadakan bersama wakil media menerusi cakera padat, tetapi Prime Domestic ingin memberi kelainan dengan tampil secara “live” pada acara yang diibaratkan sebagai pemanas badan itu.
Selain Joe, turut menganggotai Prime Domestic adalah Aweera (penyanyi), Hillary Ang (gitar), Fauzi (bass) dan Ainol (dram).
Sejarah Prime Domestic bermula sejak 2012, apabila Joe yang ketika itu masih bersama Wings berkolaborasi dengan Hillary untuk menubuhkan band projek khas bergenre rock.
Meskipun tidak pernah menyatakan status sebenarnya bersama Wings, Joe menggambarkan dia kini seakan-akan sudah pasti dengan takdir yang perlu ditempuh.
Joe sebelum ini terkait masalah dalaman Wings dengan tiga lagi anggota kumpulan itu.
“Saya tidak pernah menyatakan telah meninggalkan Wings begitu juga anggota kumpulan itu tidak pernah berkata mereka membuang saya.
“Cuma saya okay apabila sudah tidak diperlukan. Saya bawa haluan lain dan tetap dengan prinsip yang ada,” katanya tanpa mengulas lebih lanjut.
Sementara itu, Aweera menyatakan harapannya agar Prime Domestik dapat membuka peluang untuknya membina nama dalam bidang seni suara.
“Saya sering meminta abang-abang ini beri tunjuk ajar dan nasihat selain perlu sentiasa bekerja keras.
“Disatukan bersama Prime Domestic umpama mimpi dan berharap agar saya dapat bertahan lebih lama di sini,” katanya yang sebelum ini pernah menjadi vokalis Mojo.

