Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Sebanyak 53 filem bakal merebut gelaran Anugerah Utama pada Festival Filem Malaysia (FFM) ke-29 yang akan berlangsung pada 23 September depan.

Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk FFM29, Datuk Fauzi Ayob berkata penyertaan filem lebih meluas dan membuka banyak peluang kepada penerbit untuk menyertai acara kali ini.

“Penyertaan diterima merangkumi 41 filem Bahasa Malaysia, enam Mandarin, lima Tamil dan satu Inggeris.

“Sebanyak 24 anugerah termasuk Anugerah Utama akan diberikan pada malam FFM29 berbanding pengasingan kategori teknikal pada malam edisi FFM sebelum ini.

“Ini adalah mekanisme terbaik bagi menghargai setiap usaha karyawan sama ada di hadapan atau belakang tabir yang berjuang mencapai kualiti kerja memuaskan,” katanya.

Imbas kembali kontroversi FFM28

Fauzi ditemui pada sidang media memperkenalkan hos, penaja dan kategori bakal dipertandingkan FFM29 di Kuala Lumpur hari ini. Anugerah berprestij itu bakal mengambil tempat di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Tahun lalu FFM28 meletakkan filem seperti Ola Bola dan Jagat dalam kategori berasingan iaitu Pengarah Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan Filem Bukan dalam Bahasa Melayu Terbaik.

Filem berkenaan dikatakan tidak menepati peraturan FFM yang mengutamakan 70 peratus penggunaan Bahasa Melayu untuk merebut hadiah utama.

Selepas mendapat tentangan pelbagai pihak Finas akhirnya memutuskan untuk memansuhkan kategori Filem Bukan dalam Bahasa Melayu.

Sebaliknya Finas memperkenalkan dua kategori baru ketika itu, Filem Terbaik Nasional - sebagai hadiah utama - dan Filem Terbaik (menggunakan sebarang bahasa).

Dalam pada itu, Fauzi menyatakan, penjurian akan menjalani dua peringkat iaitu pada awal bermula dari 4 hingga 11 September. Manakala peringkat kedua pada 12 hingga 19 September depan.

"Semua karya yang mendapat sijil Lembaga Penapisan Filem pada atau sebelum 31 Julai tahun ini serta tidak pernah menyertai mana-mana festival filem layak dipertandingkan.

“Namun, lima pencalonan teratas kekal menjadi rahsia pada sidang kali ini dan ia hanya akan diumumkan pada malam anugerah itu berlangsung," katanya.

Malam anugerah FFM29 menyaksikan pelakon dan pelawak Zizan Razak akan menjadi hos utama, digandingkan dengan tiga artis wanita Nabila Huda, Elizabeth Tan dan Tanuja menerusi beberapa segmen.

Antara filem disenaraikan termasuk dalam pencalonan FFM29 adalah Redha, Hanyut, Malay Regiment, Pekak, Rock Bro dan Interchange.

Bagi segmen persembahan, Kumpulan KRU, Mirwana, UNIC, Salamiah Hassan, Aisyah Aziz, Atilia, Akim & The Majistret dan Shiha Zikir diundang untuk memeriahkan suasana.

Lihat Komen
ADS