Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Syafiq cuak cuma 4 orang tonton Abang Long Fadil 2

Di sebalik kutipan luar jangka yang menyaksikan Abang Long Fadil 2 (ALF2) mengaut kira-kira RM17.5 juta, Syafiq Yusof mendedahkan filem itu hanya disaksikan empat orang penonton pada hari pertama ia ditayangkan di sebuah pawagam.

Syafiq selaku pengarah mengaku pada awalnya dia berdepan dengan tekanan emosi dan kekecewaan selepas melihat sendiri sejauh mana sambutan terhadap buah tangan terbarunya itu.

“Sungguh terkejut, tengok dalam panggung hanya ada empat orang. Dari situ mula timbul perasaan cuak. Kalau begini susah nak dapat hasil kutipan pecah panggung.

“Dan selepas mendapati ada pengguna media sosial berkongsi filem berkenaan di YouTube, saya benar-benar berasa tiada harapan lagi,” katanya.

Bagaimanapun, kata Syafiq pemerhatian itu hanya mewakili sebuah panggung iaitu di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) berbanding 134 panggung di seluruh negara yang menayangkan filem sama.

“Sehari selepas membuat tinjauan, saya benar-benar lega kerana mendapat berita gembira daripada pengedar yang menyatakan kutipan hari pertama ALF2 mencecah RM1 juta,” katanya.

Menjelaskan perkembangan terkini kepada Malaysiakini, Syafiq berkata tempoh tayangan ALF2 dijangka berbaki lagi dua minggu.

"Tapi jumlah panggung yang tayangkan filem ini semakin berkurangan. Filem-filem Hollywood banyak masuk sekarang," katanya.

Panggung semua penuh

Untuk rekod, kutipan kira-kira RM17.5 juta untuk ALF2 itu diperoleh selepas hampir empat minggu tayangan termasuk Brunei dan Singapura.

Jumlah tersebut sekaligus mengatasi kutipan empat minggu filem prekuelnya Abang Long Fadil.

Filem aksi komedi itu mengisahkan kehidupan Fadil - watak dilakonkan Zizan Razak - selepas dia terjerumus ke dalam dunia samseng dan kongsi gelap.

Antara watak utama dunia itu didalangi A Galak yang berlakon sebagai Taji Samprit, dan anaknya (lakonan Wak Doyok).

Akibat terpaksa, Fadil menjalani kehidupan sebagai pembunuh upahan walaupun dia bukan seorang pembunuh.

ALF2 turut dijayakan Datuk AC Mizal, Syamsul Yusof, Achey, Tania Hudson dan Shuib Sepahtu.

Anak kepada pemilik Skop Productions Sdn Bhd, Datuk Yusof Haslam itu tidak menolak andaian kejayaan kutipan ALF2 kebanyakannya datang daripada penduduk luar bandar.

“Penduduk luar bandar seperti di Terengganu, Melaka dan Johor adalah antara penyokong kuat yang tidak mahu ketinggalan menonton sekuel Abang Long Fadil itu.

“Ini jenis kalau buka 20 panggung, 20 panggung itulah semuanya penuh.

“Namun pada masa sama, kami menghormati beberapa panggung perlu ditutup sementara bagi menghormati kemangkatan Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Muadzam Shah baru-baru ini," katanya.

Lihat Komen
ADS