Sering cemas, Emma jalani terapi sejak usia 8 tahun
Pelakon Emma Stone masih mengalami penyakit gangguan kecemasan hingga ke hari ini dan mendedahkan kepada umum dia telah memulakan rawatan terapi seawal usianya tujuh tahun.
Menerusi wawancara televisyen The Late Show With Stephen Colbert, Emma menceritakan pengalamannya sering mengalami kegelisahan sewaktu kanak-kanak dan bagaimana berlakon dapat mengurangkan kebimbangannya.
Bintang La La Land itu hadir ke sesi temubual berkenaan sambil membawa sebuah lukisan yang dihasilkan semasa menjalani terapi ketika dia berusia sembilan tahun.
“Saya masih mengalami kebimbangan hingga ke hari ini, tetapi bukan serangan panik,” katanya seperti dilapor BBC.
Aktres itu yang bakal muncul sebagai pemain tenis dalam filem Battle of the Sexes - mengisahkan perlawanan pada 1973 antara juara Billie Jean King dan Bobby Riggs - tidak segan berkongsi kisah lalu.
Emma berkata sewaktu kecil dia tidak akan keluar meninggalkan tempat kelahirannya di Scottsdale, Arizona, namun berjaya berbuat demikian dan pergi ke Hollywood ketika berusia 15 tahun.
“Saya berumur sembilan dan sedang menjalani terapi pada waktu ini. Ini gambaran saya alami keresahan yang diibaratkan seperti raksasa hijau.
“Saya seorang kanak-kanak yang amat gelisah dan alami banyak serangan panik. Tetapi memperoleh banyak manfaat daripada rawatan terapi yang dimulakan sejak berumur tujuh tahun.
Pada masa sama, Emma, 29, turut memberitahu dia berjaya mengurangkan sedikit sebanyak gejala penyakit itu menerusi lakonan.
“Berlakon dan mengasah bakat banyak membantu saya,” katanya.
Ini bukan kali pertama Emma pernah berkongsi suka dukanya mengenai penyakit berkenaan, malah dia juga pernah bekerjasama menjayakan kempen kebajikan Child Mind Institute pada Mei lalu.
Dalam sebuah klip video dihasilkan untuk kempen kebajikan itu Emma menjelaskan “hidup ini dijalani secara berperingkat, satu perkara yang saya berjaya harungi.
“Namun, kadang-kala apabila ia berlaku, saya berada dalam fasa ketakutan dan berasa seolah-olah kebimbangan itu tidak akan berakhir dan selalunya begitu,” katanya.
Emma berkata, kini dia menjalani hidup lebih seimbang kerana berjaya mengawal keresahan menerusi pakar terapi terbaik dan menggunakan alat tingkah laku kognitif yang hebat.

