Sikap dedikasi dipamerkan aktres dan penyanyi Indonesia Raline Shah membuka hati Marcell untuk mengundangnya menjayakan Konsert Once In A Lifetime di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur malam ini.

Marcell dan Raline bakal berkongsi pentas untuk menyanyikan lagu duet pernah dihasilkan bersama berjudul Jadi Milikku - yang diterbitkan pada Julai lalu.

Marcell percaya kelebihan ada pada pelakon filem berjudul 5cm itu tidak harus dipersia-siakan.

"Saya senang bekerjasama dengan Raline kerana dia begitu berbakat," katanya kepada Malaysiakini.

Marcell atau nama penuhnya Marcell Siahaan ditemui di Dewan Plenary Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum ini, kemunculan Raline sebagai tetamu undangan pada malam konsert dirahsiakan oleh Marcell apabila ditanya siapakah gerangan yang akan turut 'turun padang'.

Bagaimanapun baru-baru ini, Raline sendiri mendedahkan hal itu menerusi akaun Instagram miliknya.

"Tahniah bang @marcellsiahaans! Tidak sabar untuk persembahan pertama secara langsung dengan kamu! Jumpa di Kuala Lumpur," katanya.

Kata Marcell, pemilihan Raline sebagai rakan duet pada awal juga tidak dibuat sembarangan, lebih-lebih lagi wanita itu lebih dikenali menerusi bakat dalam bidang lakonan.

"Raline bersungguh-sungguh membuktikan kebolehannya menyanyi dengan menghasilkan lagu," katanya.

Selain Raline, Once in a Lifetime akan turut menampilkan penyanyi tempatan Noh Salleh yang juga vokalis band Hujan.

Konsert yang diberi nama Once In A Lifetime diadakan bersempena 15 tahun pembabitan Marcell dalam industri seni suara selain sebagai memperingati sambutan ulang tahunnya yang ke-40 Khamis lalu.