Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Tumbuk warga Bangladesh, Sharnaaz didenda RM1,200
Diterbitkan:  Sep 25, 2017 4:30 PM
Dikemaskini: 10:20 AM

Pelakon filem Sharnaaz Ahmad yang sering mengundang kontroversi, hari ini menyaksikan dirinya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan menumbuk seorang warga Bangladesh, Julai lalu.

Mengikut pertuduhan, Sharnaaz yang popular menerusi filem ‘Juvana’ dan drama ‘ Bukan Kerana Aku Tak Cinta’ didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Gous Ali.

Dia didakwa menumbuk muka pemandu itu di sebuah kelab golf di Kuala Lumpur pada 22 Julai lalu.

Majistret Mahyudin Mohmad Som kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,200 atau penjara dua bulan terhadap pelakon tersebut yang nama sebenarnya, Sharnaaz Ahmad Bazir Ahmad, 32, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

Pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farah Adila Noordin mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Mahkamah turut memerintahkan Sharnaaz menjalani tambahan hukuman dua bulan penjara, sekiranya gagal membayar denda. Pelakon itu kemudian membayar denda berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS