Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Biar dikritik, Neelofa takkan buka hijab
Diterbitkan:  Sep 28, 2017 8:59 PM
Dikemaskini: 1:03 PM

Sekalipun mendapat respon negatif kerana menggayakan fesyen turban, Neelofa menegaskan tidak terlintas dalam fikirannya untuk terus membuka tudung semata-mata teruk dikecam.

Pengacara dan pelakon popular itu tampil mengenakan fesyen tudung moden berkenaan ketika memenuhi undangan Malam Gala Swarovski di Milan Itali minggu lalu.

Katanya, hanya dia yang mengenali dirinya malah jauh sekali untuk berpatah hati dengan kritikan pengguna maya yang tidak henti-henti mencemuh penampilannya.

“Saya tidak pernah terfikir untuk membuka tudung. Dengan penampilan bertudung, ia sudah membawa banyak kejayaan dan rezeki sepanjang saya membabitkan diri dalam industri seni ini.

“Disebabkan imej ini jugalah saya dibawa mengunjungi banyak negara oleh beberapa jenama antarabangsa untuk memperkenalkan budaya dan imej wanita Muslim," katanya seperti dilapor Harian Metro.

Neelofa ditemui media pada majlis pelantikannya sebagai duta Lancome Malaysia di Banting, Selangor hari ini.

Terdahulu, Neelofa diminta mengulas imejnya mengenakan turban yang dimuat naik di media sosial.

Fesyen berkenaan menampakkan sebahagian rambut dan mengundang perhatian ramai.

Walaupun dikecam masyarakat, penampilan Neelofa berjaya mencuri perhatian model-model terkenal antarabangsa termasuk Karlie Kloss.

Fesyen seluar koyak

Katanya, memang sudah menjadi lumrah dia gemar mencuba sesuatu yang baru dan bergaya mengikut trend terkini.

"Apabila menyentuh mengenai fesyen, saya akui gemar bereksperimentasi dan setiap gaya yang diterjemahkan perlulah mengikut batas yang perlu dipatuhi.

"Jika dulu wanita takut dan tidak berani mengenakan tudung serta sering memberikan pelbagai alasan.

“Sekarang saya percaya dengan penampilan bertudung saya ini sedikit sebanyak dapat membuka mata dan mengubah perspektif mereka terhadap wanita bertudung," katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai fesyen seluar koyak (ripped jeans) yang menampakkan sebahagian lututnya, Neelofa berkata, dia tidak mahu cepat melatah dengan situasi itu.

“Saya membawa imej berhijab. Tentulah saya mengenakan pakaian dalam bersama jeans itu.

"Saya juga percaya mereka yang mengkritik tidak tahu mengenai fesyen baru. Jadi, saya perlu beri mereka ruang untuk mengetahui gaya fesyen terkini dan lambat-laun mereka pasti dapat menerimanya.

"Saya tidak kecewa apabila dikritik kerana saya tahu apa yang saya pakai ini.Cuma segelintir masyarakat belum dapat menerima gaya fesyen yang dikenakan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS