Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pelakon veteran hembus nafas terakhir malam tadi
Diterbitkan:  Oct 2, 2017 9:31 AM
Dikemaskini: 3:36 AM

Pelakon popular era 1970-an Nozie Nani menghembuskan nafas terakhir selepas mengalami komplikasi pelbagai penyakit di rumahnya di Batu Pahat, Johor pada pukul 8.30 malam semalam.

Nozie, 66, meninggal di sisi anak lelakinya, Nizad Noman dan menantunya, menurut laporan BH Online awal pagi ini.

Dia yang aktif berlakon pada tahun 1970-an itu menderitai penyakit darah tinggi, kencing manis, jantung dan dikesan turut mengidap kanser rahim tahap pertama bulan lalu.

Namun pemergiannya itu tetap mengejutkan kerana ia secara tiba-tiba dan keadaannya tidak terlalu tenat, kata anak bongsunya, Nabila Najat Mohd Nazamuddin.

"Kami amat terkejut dengan pemergiannya. Sebelum itu, arwah meminta abang membuatkannya air susu kambing. Arwah masih boleh bercakap.

"Abang mahu memanggil ambulans atau menghantarnya ke hospital apabila melihatkan keadaannya tidak sihat tetapi arwah menolak. Secara tiba-tiba, arwah sesak nafas dan terus menarik nafas terakhir," katanya seperti dipetik.

Nabila berkata, ibunya disahkan meninggal dunia apabila ambulans tiba.

Nozie atau nama sebenarnya Nozia Nani mula melibatkan diri dalam dunia perfileman pada 1973 menerusi filem Permintaan Terakhir, bergandingan dengan Uji Rashid.

Selain itu, dia turut membintangi Jiwa Remaja dan Cinta Dan Lagu, semuanya diarahkan allahyarham Datuk Jamil Sulong.

Nabila berkata, kesihatan ibunya menjadi tidak menentu selepas disahkan mengidap penyakit kanser rahim.

"Apabila sihat, seharian arwah akan berjaga, sebaliknya jika tidak sihat, dia terlantar di atas katil dan tidur sahaja.

“Bagaimanapun, tiada perubahan yang ditunjukkan sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir. Kami reda tetapi masih terkejut dengan pemergiannya secara tiba-tiba," katanya lagi.

Beliau memaklumkan, arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Semai, Batu Pahat pada pukul 10 pagi ini.

Selain Nabila dan Nizad Norman, Nozie memiliki seorang lagi anak iaitu Nizad Nazril, 35. Suaminya, Mohd Nazamuddin Husain meninggal dunia pada 2003.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS